suria

MH370: JPN 'Kunci Mulut'

PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bertindak 'mengunci mulut' berhubung sijil kematian penumpang dan anak kapal pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), MH370 yang hilang sejak 8 Mac tahun lalu.

Ketua Pengarah JPN, Datuk Sulaiman Keling berkata, pihaknya tidak akan memberi sebarang komen mengenai sijil kematian mangsa MH370 kerana membabitkan isu sensitiviti terutamanya bagi keluarga mangsa.

"JPN tidak akan mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai sijil kematian mangsa MH370 kerana kami hanya akan berurusan secara terus dengan keluarga mangsa disamping menjaga sensitiviti semua pihak," katanya kepada pemberita pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2014, di sini.

Menurutnya, JPN telah mengadakan perbincangan secara terperinci terhadap aspek perundangan bagi melicinkan sebarang proses yang perlu dilakukan sekiranya terdapat tuntutan berkaitan jabatan itu.

"Selain itu, JPN tidak akan mendedahkan butiran terperinci sijil kematian mangsa MH370 kerana ini melibatkan kematian yang boleh menyinggung perasaan banyak pihak terutamanya keluarga mangsa.

"JPN bertanggungjawab menjaga perasaan kesemua pihak dan hanya keluarga mangsa sahaja yang layak mengetahui hal ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Sulaiman ketika berucap pada majlis tersebut memberitahu, JPN akan terus memperkasakan penguatkuasaan bersepadu melalui 'sinergy multisectoral' dengan agensi penguatkuasaan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta masyarakat awam.

"Kerjasama seumpama ini sudah tentu akan menghasilkan impak yang lebih efektif dalam memerangi isu pemalsuan dan salahguna dokumen oleh individu atau pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya.

JPN, Putrajaya, MH370

Artikel Berikut

Artikel Lain