suria

PRK Rompin: PAS Yakin Calon Muda, Berilmu, Ramah Mampu Menang

Nazri (tengah) merupakan calon muda yang dipertaruhkan PAS.

ROMPIN: PAS yakin kriteria yang ada pada calonnya, Nazri Ahmad adalah formula terbaik untuk memancing undi golongan muda sekali gus memberi tentangan sengit kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Nazri adalah anak muda yang amat dikenali dikalangan peneroka Felda di sini selain memiliki latar belakang ilmu dan keluarga yang baik.

"Bagi saya kita kemuka calon terbaik... seorang anak peneroka tempatan yang memiliki latar belakang ilmu yang sangat bagus. Selain terkenal dengan sikap lemah-lembut, dia juga memiliki keluarga yang besar di Rompin.

"Seorang yang amat dikenali kerana dia juga merupakan Ketua Pemuda PAS negeri (Pahang) dan Yang Dipertua PAS kawasan. Kriteria ini sudah mencukupi bagi melayakkan beliau dipilih pengundi, " kata Tuan Ibrahim.

Beliau berkata demikian selepas majlis pengumuman calon PAS di Pusat Perniagaan Bandar Satelit di Muadzam Shah, malam Isnin.

Ketika ditanya adakah pencalonan Nazri satu formula untuk memenangi hati pengundi dan mengurangkan majoriti undi diraih BN, Tuan Ibrahim berkata pencalonan tersebut membuktikan PAS tidak ketandusan calon muda yang boleh diketengahkan.

"Dengan keterampilan itu pengundi boleh lihat PAS mempunyai barisan pelapis yang boleh ditonjolkan. Calon BN orang lama dah berhenti... tiba-tiba hidup baliklah.

"Namun kita tetap kemukakan calon untuk gambarkan kekuatan anak muda, pengundi muda di Rompin akan beri sokongan kepada beliau (Nazri)," katanya.

Nazri yang berasal dari Felda Keratong 5 di sini, memiliki Ijazah Sarjana Syariah Islamiah dari Universiti Al-Azhar, Mesir.

Bapa kepada enam anak itu pernah menjadi guru Al-Quran di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muadzam Shah.

Sementara itu, Nazri memberitahu, beliau berjanji untuk mewakili suara anak muda yang rata-rata kehidupan mereka tidak terjamin lebih-lebih lagi dengan peningkatan kos sara hidup pada hari ini.

"Walaupun saya pada mulanya amat berat hati untuk pikul beban ini, tapi ia satu peluang untuk memberi sedikit sumbangan kepada masyarakat yang dizalimi pemimpin.

"Allah beri peluang kepada Rompin yang juga satu isyarat kepada BN supaya jangan ambil mudah dan pandang ringan kepada nasib dan penderitaan rakyat," katanya.

Nazri akan menentang calon BN, Datuk Hasan Ariffin yang juga Pemangku Ketua Umno Bahagian Rompin.

PRK Rompin ditetapkan pada 5 Mei manakala hari penamaan calon Rabu ini.

PRK Parlimen Rompin diadakan berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor, 4  April lalu.

PAS, BN, Rompin

Artikel Sebelum

Artikel Lain