suria

PRK Rompin: GST Modal Kempen PAS

ROMPIN: Hujan lebat tidak menghalang ceramah anjuran PAS diteruskan, lebih-lebih lagi apabila kira-kira 100 hadirin tetap tidak berganjak kerana leka dihidangkan dengan pelbagai isu, termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebagai modal memancing undi.

Ternyata, isu GST digunakan PAS menerusi siri ceramahnya untuk memulakan momentum berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin.

Parti itu turut menggunakan sistem cukai baharu itu untuk mengkritik kepimpinan negara yang didakwa sengaja menzalimi rakyat di saat negara dibebani hutang yang banyak.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad mendakwa GST dikenakan terhadap rakyat kerana kerajaan mahu mencari sumber pendapatan yang baharu akibat penurunan hasil minyak negara.

"Dengan turunnya harga minyak mentah maka pendapatan kerajaan dan kurang... maka mereka terpaksa cari hasil yang baharu dengan mengenakan cukai kepada rakyat.

"Kerajaan nak duit lebih kerana mereka  boros dan membazir. Mereka membelanjakan jutaan ringgit untuk  pembelian barang yang tidak diperlukan," dakwanya dalam satu ceramah di Bandar Rompin malam Selasa.

Malah, Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Terengganu, Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh turut membidas pelaksanaan GST terutamanya di kalangan umat Islam.

"Tindakan yang sangat tamak kerana kenakan GST terhadap rakyat. Saya katakan GST haram kerana bercanggah dengan syariat Islam. Sistem cukai ini dilaksanakan dalam keadaan negara tidak berlanja secara berhemah," katanya.

Belum pun kempen bermula, isu GST akan terus dijadikan modal kempen pakatan pembangkang di kubu kuat Umno dalam usaha merampas kerusi yang menjadi milik Umno selama enam penggal ini.

PAS mempertaruhkan Ketua Pemuda PAS Pahang, Nazri Ahmad untuk mencabar calon Barisan Nasional (BN) Datuk Hasan Arifin.

PRK Rompin ditetapkan 5 Mei ini dan hari penamaan calon pada Rabu.


Rompin, GST, Khalid Samad, PAS

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan