suria

Sultan Nazrin Saran Pelukis Malaysia Lihat Ke Luar Sempadan Negara

KUALA LUMPUR: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah menggesa pelukis tanah air melihat ke luar sempadan negara untuk melihat bagaimana pihak lain menghasilkan karya lukisan mereka sekalipun ketika menghadapi kesulitan dan halangan.

Sultan Nazrin berkata, seni lukis sering menjadi moda berkesan ekspresi politik dan sosial sebagaimana sejarah membuktikan bahawa ramai pelukis yang memberi pengorbanan besar kerana berani menentang ketidakadilan.

"Seni lukis juga merangsang cita rasa dan menggalakkan kita berfikir dan memancarkan sesuatu di luar apa yang kita lihat di hadapan kita.

"Seni lukis setiap negara memaparkan sifat-sifat istimewa yang menceritakan kepada kita tentang harapan dan aspirasi pelukis dan negara berkenaan.

"Karya lukisan agung mencermin dan menampakkan elemen yang merentasi masa, ruang dan sempadan fizikal," titah baginda pada pembukaan pameran "The Masters of Myanmar Art" di sini, Selasa.

Turut hadir di majlis itu Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Sultan Nazrin bertitah selaras dengan meningkatnya pengumpulan dan penghargaan karya lukisan, lapangan seni ini kini muncul lebih canggih dengan lebih banyak peluang pekerjaan untuk kurator lukisan, 'conservator', penulis dan designer katalog.

"Hari ini, pelukis terkemuka di Malaysia seperti Latif Mohidin, Yusof Ghani, Ahmad Zaki Anwar dan ramai lagi dapat meraih pendapatan lumayan berbanding pada zaman awal negara, bila kumpulan pertama pelukis kita pulang dari latihan di seberang laut dan memulakan kerjaya sebagai pelukis profesional," tegas baginda.

Sultan Nazrin bertitah, "Perkembangan seni lukis Myanmar punya beberapa persamaan dengan seni lukis kita, dari segi pengaruh Penjajahan British.

"Sebagaima beta fahami, lukisan air dan minyak serta Impressionisme dan Realisme masih merupakan ciri dominan dalam seni lukis Myanmar".

Baginda mengucap tahniah kepada pelukis Myanmar yang menaruh minat peribadi mempromosi seni lukis Myanmar di Malaysia.

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan