suria

PRK Pmtg Pauh: Enam Pasukan Penguatkuasa Pantau Pilihan Raya

GEORGE TOWN: Enam pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya (PPKPR) akan membantu memantau kelancaran proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh.

Pemangku Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pulau Pinang Azizal Ahmad berkata setiap pasukan mempunyai lima anggota terdiri daripada ketua pasukan, seorang pegawai polis, wakil Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan wakil parti bertanding.

Beliau berkata dua pasukan akan ditempatkan di setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Seberang Jaya, Permatang Pasir dan Penanti.

"Mereka ditugaskan untuk membuat rondaan di kawasan DUN terlibat dan memantau perjalanan kempen dari segi pemasangan poster dan ceramah. Mereka akan ambil tindakan jika ada pihak yang tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan SPR.

"Buat masa ini, kami letakkan lima anggota bagi setiap pasukan dan jika ada pertambahan calon yang bertanding kami akan tambah anggota. Mereka akan mula bertugas selepas hari penamaan calon," katanya.

Mengenai persiapan SPR untuk hari penamaan calon 25 Mei ini, Azizal berkata pihaknya menyediakan tiga khemah untuk penyokong parti di perkarangan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Berapit Seberang Perai Tengah dekat sini, dan setiap calon yang berhasrat untuk bertanding hanya dibenar membawa 100 penyokong ke perkarangan dewan.

"Persiapan dari segi logistik dan peralatan dah siap. Cuma untuk 'set up' dalam dewan di IKBN kami akan buat Jumaat ini. Selain khemah untuk penyokong, khemah untuk orang kenamaan yang hadir pada Sabtu ini turut disediakan," katanya.

Beliau menasihatkan parti-parti politik bertanding agar mendapatkan pas masuk daripada pengurus pilihan raya bagi membolehkan penyokong mereka menyertai peroses penamaan calon Sabtu ini.

Sebanyak 10 borang pencalonan telah dijual setakat ini, katanya.

Beliau berkata seramai 1,099 petugas SPR akan ditugaskan sepanjang PRK  itu meliputi pegawai pengurus sehinggalah pemandu.

Sebanyak 27 pusat daerah mengundi akan dibuka dengan 130 saluran untuk undi biasa dan dua saluran untuk undi awal, katanya.

Azizal berkata Parlimen Permatang Pauh mempunyai 71,820 pengundi berdaftar dengan 627 orang pengundi awal.

"Saya ingin menasihatkan parti-parti bertanding supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi menjamin ketenteraman dan kelancaran PRK Permatang Pauh.

Bagi penyokong pula jangan cuba untuk menimbulkan provokasi yang boleh mendatangkan kekecohan," katanya.

PRK Permatang Pauh diadakan berikutan penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai wakil rakyat selepas Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Anwar melalui anggota keluarganya.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Pada pilihan raya umum 2013, Anwar mempertahankan kerusi Permatang Pauh dengan menewaskan calon Barisan Nasional Dr Mazlan Ismail dengan majoriti 11,721 undi.

SPR, Permatang Pauh

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain