suria

Wanita Orang Asli Tarik Perhatian Wakil NGO Asean

Ucapan Fatimah dalam Bahasa Malaysia diterjemahkan ke Bahasa Inggeris untuk memudahkan peserta forum berkenaan.

KUALA LUMPUR: Penampilan penuh yakin wakil Orang Asli dari Pahang yang tidak tahu berbahasa Inggeris menarik perhatian peserta Forum Wanita Asean pada Rabu.

Kehadiran delegasi pelbagai negara rantau ini bagaimanapun tidak menghalang Fatimah Bah-sin dari suku Semak Beri dan Semai di Kuantan untuk menyuarakan pandangannya.

Menyampaikan ucapan menggunakan bahasa kebangsaan, Bahasa Malaysia, Fatimah mempersoalkan sama ada wanita yang mewakili negara masing-masing itu juga berhadapan masalah diskriminasi.

"Apabila bergaul dengan wakil badan bukan kerajaan (NGO), kini saya tahu serba sedikit mengenai hak kaum wanita. Saya berhasrat untuk memperjuangkannya," katanya disambut dengan tepukan gemuruh di kalangan peserta forum berkenaan.

Ucapannya diterjemahkan ke Bahasa Inggeris.

Lebih 1,400 peserta yang mewakili kira-kira 1,000 NGO menyertai forum berkenaan sempena Sidang Kemuncak Asean yang dijadualkan berlangsung pada 26 dan 27 April ini.

Artikel Lain