suria

AIBC Akan Bina Sekolah Perbankan Bertaraf Dunia Di KL

Azman Hashim

KUALA LUMPUR: Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) akan membina sebuah sekolah perbankan Asia yang bertaraf dunia sebagai sebahagian daripada komitmennya untuk membangunkan perbankan di Malaysia dan Asean.

Pengerusi Tan Sri Azman Hashim berkata, objektif utama sekolah itu adalah untuk melahirkan pegawai-pegawai bank yang berkualiti tinggi bagi industri kewangan.

"Rancangan ini masih di peringkat awal. Tetapi, kami telah bersetuju bagi  melantik seorang pengetua yang berpengalaman untuk sekolah yang akan ditempatkan berhampiran dengan Bank Negara Malaysia (BNM)," katanya.

Pelaburan bagi sekolah ini akan datang daripada dana latihan kakitangan AIBC yang banyak terkumpul selama ini, kata Azman.

"Kami sekarang sedang melihat kepada jenis bangunan yang boleh menggabungkan kemudahan berkaitan dan cuba untuk menjadikannya bertaraf dunia bagi memenuhi keperluan rantau Asean dan juga tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semada di Bazar Pengetahuan Sumber Manusia 2015 di sini, Rabu.

Persidangan itu telah dirasmikan oleh Timbalan Gabenor BNM, Datuk Muhammad Ibrahim.

Azman berkata, Malaysia sedang berhadapan dengan masalah kekurangan Sumber Manusia (HR) yang kritikal dalam mana-mana organisasi.

"Sesebuah organisasi akan memiliki bekalan bakat yang baik jika bahagian sumber manusianya kukuh. Tanpa ini, sesebuah organisasi akan menjadi lemah.Oleh itu, persidangan ini dibuat untuk mencari idea baharu bagi mengatasi masalah ini," katanya.

"Persidangan satu hari itu juga membuka jalan bagi mengembangkan Malaysia sebagai hab bakat serantau dan memastikan rantau ini mampu memenuhi keperluan dalam dunia, walaupun tumpuan sebenar adalah ke atas Asia dan Asean," katanya.

Persidangan anjuran ACIB itu disertai oleh negara-negara Asean, China dan Hong Kong.-- Bernama

AIBC, sekolah perbankan, Azman Hashim

Artikel Lain