GEORGE TOWN: Umno harus bekerja keras untuk menawan hati pengundi dalam menghadapi pilihan raya kecil Parlimen Rompin dan Permatang Pauh, kata Anggota Majlis Tertingginya, Datuk Seri Mustapa Mohamed. Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, kedua-dua pilihan raya kecil itu sama penting dan semua jentera perlu bekerja keras mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) dapat direalisasi. "Kita juga perlu optimis untuk berhadapan dengan kedua-dua pilihan raya kecil ini, oleh itu semua jentera (parti) perlu memberi yang terbaik demi kelangsungan parti," katanya kepada pemberita di sini, Rabu. Beliau berkata, BN dan Umno Kelantan telah digerakkan untuk membantu di kawasan Parlimen Rompin. Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 5 Mei ini sebagai tarikh pilihan raya kecil Parlimen Rompin manakala 7 Mei bagi Permatang Pauh. Kerusi Parlimen Rompin kosong apabila penyandangnya Tan Sri Jamaluddin Jarjis terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April, manakala kerusi Permatang Pauh kosong apabila penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai wakil rakyat setelah Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon anggota keluarganya.-- Bernama