KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menyediakan kabin khas untuk golongan gelandangan sementara menunggu pusat perlindungan siap dibina di dua lokasi di sini. Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib berkata, kabin khas itu akan disediakan di Jalan Medan Tuanku sementara menunggu tiga pusat perlindungan gelandangan itu siap dibina pada pertengahan tahun depan. "DBKL kini sedang membina tiga pusat perlindungan untuk gelandangan iaitu dua di depan Hospital Kuala lumpur dan satu lagi di Chow Kit. "Sementara pembinaan itu siap, kita menyediakan sebuah kabin khas yang turut dilangkapi dengan tandas dab bilik mandi, malah makanan untuk gelandangan juga disediakan," Katanya selepas merasmikan Galeri Anjung Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) di sini, Rabu. Beliau menambah, ketiga-tiga pusat perlindungan berkenaan dibina dan akan dikendalikan oleh Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) di bawah tanggungjawab korporat sosial (CSR) dengan kerjasama kerajaan.