suria

Jangan Terlalu Mudah Percaya Laporan Media Sosial - Najib

Najib menyampaikan ucapan pada majlis makan malam bersama pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia di sebuah hotel di Bandung, malam Khamis. Foto BERNAMA

BANDUNG: Datuk Seri Najib Tun Razak menasihatkan golongan pelajar supaya tidak mudah percaya atau terpengaruh dengan laporan dalam media sosial kerana tidak semua kandungan yang disebarkan itu adalah benar.

Perdana Menteri berkata sebagai golongan terpelajar, mereka harus berfikiran rasional serta mencari maklumat yang benar dan tepat mengenai sesuatu isu.

"Bukan semua laporan dalam media sosial itu benar...ada yang palsu, ada yang fitnah dan ada yang separuh benar. Maka dalam dunia tanpa sempadan inilah (penyebaran maklumat dalam media sosial) yang paling mencabar.

"Jika dahulu kita bergantung kepada surat khabar...hari ini generasi baharu tidak lagi membaca surat khabar," katanya ketika berucap pada majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Pelajar Malaysia di Indonesia, di sini, malam Khamis.

Justeru, katanya jika mendapat maklumat daripada media sosial mengenai sesuatu isu, golongan pelajar seharusnya membuat penilaian secara rasional bagi memastikan sama ada maklumat yang disebarkan itu sahih atau hanya fitnah.

Perdana Menteri itu juga mengumumkan akan memberi bantuan khas bagi mengisi dana Tabung Pelajar Malaysia di Indonesia yang ditubuhkan oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia Indonesia (PKPMI).

Katanya, kerajaan menyokong penubuhan tabung itu bagi membantu pelajar yang mengalami masalah akibat insiden atau masalah tertentu.    

Beliau berkata, fokus utama kerajaan sekarang ialah usaha meningkatkan lagi taraf ekonomi negara.

Najib berkata, sebagai Perdana Menteri beliau berazam melakukan yang terbaik untuk negara dan usaha yang sedang dijalankan ialah membangunkan ekonomi negara dari ekonomi di tahap sederhana kepada ekonomi di tahap tinggi atau ekonomi maju.

Katanya, kerajaan juga tidak lama lagi akan melancarkan pelan Rancangan Malaysia ke-11 dan ia adalah pusingan terakhir menjelang pencapaian Malaysia sebagai sebuah negara maju pada tahun 2020.

Najib berkata, usahawan dan syarikat-syarikat terkemuka di Malaysia juga haruslah melebarkan sayap pelaburan ke Indonesia bagi menjadi jaguh di peringkat rantau Asean.

"Dengan peluang pasaran yang luas dan 230 juta penduduk di Indonesia, usahawan Malaysia seharuslah mengambil peluang mengembangkan perniagaan mereka di negara ini," katanya.

Beliau berkata, hubungan antara Malaysia-Indonesia juga harus diperluaskan dan tidak terhad kepada hubungan antara pemimpin sahaja.

"Kita mahu hubungan antara Malaysia dan Indonesia diperluaskan di semua peringkat termasuk dalam kalangan anggota-anggota DPR (Dewan Pemasyarakatan Rakyat) dan Anggota Parlimen," kata beliau.

Sebanyak 200 pelajar Malaysia dari seluruh Indonesia menghadiri majlis perjumpaan dan jamuan malam yang turut disertai oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Shabery Cheek dan Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamaed Hashim.

Najib Tun Razak

Artikel Berikut

Artikel Lain