EKSKLUSIF PETALING JAYA: Jabatan Penjara kini sedang menjalankan kajian untuk memperkenalkan konsep pelaksanaan tahanan di rumah menggunakan peranti pemantauan elektronik (EMD) sebagai langkah pemantauan. Konsep ini adalah alternatif kepada hukuman pemenjaraan di dalam tembok dengan memperkenalkan kaedah ‘tahanan di rumah’ (home detention). Kajian itu susulan keberkesanan sistem parol yang juga salah satu hukuman di luar penjara yang dilaksanakan sejak 2008. Selain parol, Jabatan Penjara turut melaksanakan perintah kehadiran berwajib dan program pemulihan kemasyarakatan di kem tentera sebagai hukuman di luar penjara. Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Penjara (Keselamatan dan Koreksional), Datuk Hassan Sakimon berkata, kajian mengenai pelaksanaan hukuman di luar penjara ini dilakukan oleh Jawatankuasa Kajian dan Penyelidikan jabatan itu. Menurutnya, kajian itu masih belum memutuskan kategori banduan untuk tahanan di rumah namun banduan reman antara yang difikirkan sesuai bagi pelaksanaan sistem tersebut. "Ketika ini terdapat dua kategori banduan iaitu banduan reman iaitu orang yang telah disoal siasat dan ditahan atas perintah mahkamah sementara menunggu perbicaraan, manakala banduan jatuh hukum adalah mereka yang disabitkan melakukan kesalahan. “Sekarang ini banduan reman dipenjarakan walaupun belum melalui proses perbicaraan dan disabitkan kesalahan di mahkamah. Oleh itu, mereka mungkin boleh dirujuk untuk tahanan di rumah mengikut kesesuaian kes dan perintah mahkamah. “Jika tahanan di rumah dilaksanakan pada masa akan datang, sebarang keputusan tertakluk kepada perintah mahkamah. Jabatan Penjara hanya mengikut perintah itu," katanya kepada mStar Online dalam satu temuramah. Hassan Sakimon. Banduan reman melibatkan kes-kes jenayah seperti mencuri dan pecah rumah sehingga jenayah berat iaitu rogol, mengedar dadah dan membunuh. Walaupun belum disabitkan kesalahan di peringkat ini, antara sebab mereka yang direman ditahan di dalam penjara kerana khuatir kemungkinan akan melarikan diri, menganggu saksi atau bahan bukti, cenderung melakukan jenayah baharu dan mempunyai rekod jenayah lampau. Namun banduan reman berkaitan jenayah berat seperti bunuh, mengedar dadah, rogol dan rompakan bersenjata tidak sesuai untuk menjalani tahanan di rumah dan mereka perlu ditahan di penjara. Hassan berkata, sebelum ini, kerajaan menyasarkan dua pertiga daripada jumlah keseluruhan banduan menjalani pemulihan di luar penjara menjelang 2020, bagaimanapun ia merangkumi kedua-dua kategori banduan tersebut. “Kedua-duanya memerlukan pemulihan dan penerimaan masyarakat untuk menjalani kehidupan lebih baik tanpa persepsi negatif terhadap mereka sama ada disabitkan bersalah atau tidak,” katanya. Hassan berkata, menerusi alternatif itu, ia diharap dapat membantu mengurangkan kesesakan banduan di penjara. Mengulas lanjut kaedah hukuman itu, katanya, penghuni ‘tahanan di rumah’ ini masih bebas tetapi pergerakan mereka terbatas dan ‘pemantauan jarak jauh’ akan dilakukan pihak penjara. Tambahnya, mereka akan ditempatkan di kediaman masing-masing atau lokasi yang diluluskan pihak berkuasa tetapi perlu mematuhi syarat yang ditetapkan. “Antara syarat yang perlu dipatuhi adalah mereka boleh keluar dari rumah sepanjang tempoh reman tetapi tidak boleh melangkaui kawasan yang ditetapkan. “Mereka juga boleh melakukan aktiviti harian seperti bekerja selagi ia mendapat kelulusan dan tidak melanggar undang-undang. “Kita juga akan menetapkan ‘perintah berkurung’ bagi mewajibkan mereka berada di rumah sepanjang tempoh itu,” katanya sambil menambah tindakan akan dikenakan terhadap mereka yang melanggar syarat-syarat tersebut. Hassan berkata, banduan reman tidak perlu mengikuti aktiviti-aktiviti yang diaturkan penjara sebagaimana yang dilakukan banduan lain seperti aktiviti kemasyarakatan kerana mereka bukan pesalah. Tambahnya, oleh kerana banduan reman ini akan dipakaikan Peranti Pemantauan Elektronik sebagai langkah pemantauan, pegawai penjara tidak perlu membuat kawalan di rumah. “Peranti berkenaan boleh mengesan setiap pergerakan dan kedudukan banduan sepanjang masa. Ia akan memberi isyarat kepada pihak penjara yang membuat pemantauan terutama apabila banduan itu melanggar peraturan,” katanya sambil menambah mereka mengambil Australia sebagai negara contoh bagi pelaksanaan tahanan di rumah. Kajian terhadap konsep tahanan di rumah merupakan susulan keberkesanan sistem parol yang dilaksanakan Jabatan Penjara sejak 2008. Bagaimanapun Hassan berkata, cadangan ‘tahanan di rumah’ masih di peringkat kajian Jabatan Penjara sebelum ia dibentangkan ke Kementerian Dalam Negeri (KDN). “Kita sudah memulakan kajian sejak kira-kira setahun lalu dan masih meneliti dari aspek perundangan kerana akta perlu dipinda sekiranya ‘tahanan di rumah’ dilaksanakan. Ia juga perlu melihat kesesuaian dan keperluan perundangan dan Jabatan Penjara,” katanya. Mengenai sistem parol di negara ini, ia berjaya membantu mengurangkan kadar residivis atau kemasukan semula banduan ke penjara, iaitu 7.97 peratus pada 2012, 7.61 peratus (2013) dan 7.6 peratus (2014), yang masih di bawah sasaran sembilan peratus, malah antara yang terbaik berbanding negara lain di rantau Asean, kira-kira 25 hingga 35 peratus. Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika dihubungi oleh wartawan akhbar The Star mengesahkan yang kajian ini sedang dijalankan secara teliti oleh pihak penjara. Katanya, menggunakan Peranti Pemantauan Elektronik adalah sesuatu yang kompleks kerana ia berkemungkinan turut melibatkan pindaan ke atas undang-undang sedia ada. "Ia bukan sekadar memasangkan peranti ini ke atas tahanan tetapi ia turut melibatkan soal had kuasa Jabatan Penjara dan juga bidang kuasa mahkamah dalam menentukan atau menjatuhkan arahan berhubung penggunaan peranti berkenaan," ujarnya. Tambah Dr Wan Junaidi, cadangan agar penggunaan peranti ini ke atas tahanan reman dan parol telah dibangkitkan oleh ahli-ahli parlimen pada Persidangan Dewan Rakyat tahun lalu. Beliau menjangkakan cadangan tersebut akan dapat disiapkan dan dibentangkan kepada kabinet untuk kelulusan menjelang akhir tahun ini.