Ramai menyatakan kelegaan dan kegembiraan apabila kerajaan telah mendengar pandangan rakyat dalam membuat perubahan dengan memberi cadangan kaedah-kaedah pengeluaran KWSP.
Lee Kui Liam, berkata di Facebook bahawa dia berharap umur pengeluaran tersebut akan kekal dan tidak akan diubah lagi.
"Akhirnya anda melakukan perkara yang betul, jangan sesekali mengubah umur pengeluaran, tidak semua daripada kita berpeluang hidup lama selepas usia emas 55 tahun, setiap tahun kehidupan kita selepas usia 55 tahun adalah satu bonus," katanya.
Mohd Hilmi Seroji memuji keputusan mengekalkan umur pengeluaran semasa.
"Huhh ... Akhirnya ... kami cemas menunggu pendirian ini dari anda Dato Seri...tqvm..kami boleh tidur lena sekarang," katanya di laman Facebook.
"Tarik nafas lega. Terima kasih di atas pengumuman itu. Ini adalah berita yang paling gembira untuk hari ini," kata Julie Verena.
Seorang lagi pengguna Facebook, Yoke Huat Thee, juga memuji langkah itu yang membolehkan orang ramai membuat keputusan mengenai kewangan mereka sendiri.
"Baik. Biarlah mereka membuat keputusan terhadap wang mereka sendiri! Terima kasih PM..." katanya.
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia juga menyambut baik pengumuman tersebut.
Setiausaha Agungnya N. Gopal Kishnam berkata mereka menghargai hakikat bahawa kerajaan telah mendengar pandangan pekerja.
"Tetapi saya menyeru kepada Kerajaan untuk menangani isu dasar upah yang rendah, yang menjadi sebab mengapa kebanyakan pekerja tidak mempunyai simpanan yang cukup untuk persaraan," katanya.
Gopal berkata upah bagi pekerja Malaysia hanya berjumlah 32 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) manakala selebihnya diperolehi majikan dan pihak kerajaan.
Beliau berkata upah pekerja di Singapura berjumlah lebih 40 peratus daripada KDNK.