BUKIT MERTAJAM: Calon Bebas pilihan raya umum (PRU) ke-13, Dr Abdullah Zawawi Samsudin, 47, menarik diri daripada bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh. Beliau yang tiba di pusat penamaan calon di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Berapit di sini, pada 9.10 pagi membuat keputusan itu selepas mendapati ada dua lagi calon Bebas yang menyerahkan borang pencalonan. "Saya menarik diri daripada bertanding kerana tidak mahu menyusahkan pengundi di Permatang Pauh untuk memilih calon yang ramai. Sekarang sudah ada calon Barisan Nasional (BN), calon PKR dan dua calon Bebas. Jadi, saya membatalkan hasrat untuk bertanding," katanya kepada pemberita di sini. Pada Jumaat, Dr Abdullah Zawawi mengumumkan akan mencuba nasib sekali lagi pada PRK Permatang Pauh. Pengamal perubatan itu, yang menggunakan simbol payung pada PRU ke-13 lepas, tewas kepada calon PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon BN Dr Mazlan Ismail dengan hanya mendapat 201 undi dan hilang wang deposit. PRK Permatang Pauh diadakan selepas Anwar, penyandang kerusi Parlimen itu hilang kelayakan sebagai wakil rakyat setelah Lembaga Pengampunan menolak petisyen bagi pengampunan diraja yang dipohon keluarganya, atas sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan. Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh, Selangor. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian 7 Mei. Pengundian awal 3 Mei.