suria

Hun Sen, Sam Rainsy Bertemu Rakyat Kemboja

Hun Sen (dua dari kiri) sebaik tiba di ibu negara untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asean, Jumaat.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen, dan pemimpin pembangkang negara itu, Sam Rainsy, mengetepikan perbezaan politik mereka apabila mengadakan pertemuan dengan rakyat mereka yang bekerja atau menetap di Malaysia, Sabtu untuk mendengar keperluan dan masalah mereka.

Dikendalikan dalam bahasa Khmer, kira-kira 350 rakyat Kemboja menghadiri majlis itu di sebuah hotel di sini, yang antara lain mendengar tentang  kesejahteraan mereka selain mereka diberi taklimat mengenai keadaan politik di tanah air.

Hun Sen berada di sini sempena Sidang Kemuncak Asean Ke-26, yang berlangsung pada Ahad dan Isnin ini di ibu negara Malaysia dan Langkawi di utara negara ini.

Duta Besar Kemboja di Malaysia, Puteri Norodom Arunrasmy, rakyat Kemboja gembira berada di Malaysia dengan ramai daripada mereka melihat negara ini sebagai negara ilmu pengetahuan.

"Sebahagian daripada pelajar kami menerima biasiswa kerajaan Malaysia  untuk melanjutkan pengajian mereka di sini," katanya.

Hun Sen disambut oleh Rainsy semasa ketibaannya pada majlis itu, sambil diberi tepukan gemuruh oleh para hadirin.

Bercakap kepada Bernama kemudian, Rainsy berkata beliau dan Hun Sen mahu menunjukkan kepada rakyat Kemboja bahawa budaya dialog perlu terus diadakan dalam semua keadaan, walaupun ketika kedua-dua pemimpin itu berada di luar negara.

"Kami terus menghormati satu sama lain dan menggalakkan perpaduan nasional  dengan bekerja bersama-sama untuk negara kami,"katanya.-- Bernama

 

Artikel Lain