JOHOR BARU: Enam pendaki dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang sedang mendaki Gunung Everest di Nepal, disahkan selamat berikutan kejadian gempa bumi kuat yang berlaku di negara itu, awal petang Sabtu. Penolong Pendaftar, Pejabat Hal Ehwal Korporat UTM, Sabri Ahmad berkata, kumpulan itu, yang terdiri daripada empat pelajar dan dua jurulatih itu, berlepas ke Kathmandu, 28 Mac lepas. Keenam mereka dikenali sebagai Azim Afif Ishak, 27; Anis Zulaikha Zabani, 25; Jamhuri Jumari, 21; Azham Afzanizam Hamzah, 27; Farul Aidib Mahamad Yusoff, 21; dan Ahmad Sabri Abdul Razak, 24. Azim dan Anis, pasangan suami isteri, adalah jurulatih yang menemani keempat pelajar itu. "Saya mengetahui keadaan mereka selamat melalui Facebook Azim dan Azham. "Mereka menyatakan keadaan di Everest Base Camp ketika ini selamat tetapi masih berkabus," kata Sabri ketika dihubungi Bernama di sini, Sabtu. Mereka turut memuat naik beberapa gambar melalui "Facebook" yang menunjukkan kemusnahan kebanyakan khemah di tempat mereka berada. Sabri berkata, kesemua mereka memulakan pendakian ke Kem Satu pada 21 April itu bagi menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di altitud lebih tinggi dan kembali semula ke Base Camp pada ketinggian 5,364 meter pada hari yang sama. Mengikut jadual, pada 23 April mereka sekali lagi mendaki ke Kem Satu pada ketinggian 6,000 meter dan bermalam di sana dan seterusnya ke Kem 2 pada hari berikutnya. Pada Sabtu, sepatutnya mereka berada di Kem Dua tetapi disebabkan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan mereka telah kembali ke Base Camp. Mereka dijadualkan pulang ke tanah air Jun ini. "Pihak UTM kini sedang memantau perkembangan di sana. Kalau keadaan mengizinkan dan selamat, ekspedisi mendaki akan diteruskan tetapi kalau dinasihatkan pihak berkuasa Nepal yang keadaan tidak mengizinkan, kita akan berhubung dengan pihak kedutaan di sana. Kami mengharapkan semua berada dalam keadaan selamat," kata beliau. Bagi pendaki Gunung Everest, kebiasaannya mereka mengambil masa lebih sebulan untuk menyesuaikan diri dengan keadaan sekitar gunung sebelum melalui base camp dan empat kem yang didirikan pada ketinggian antara 5,300 meter hingga 8,850 meter sebelum sampai ke puncak. Gempa bumi kuat yang berukuran 7.9 pada skala Richter itu berlaku pada pukul 2.45 petang waktu Malaysia, sehingga telah menyebabkan kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa. Sementara itu, laporan berita turut melaporkan beberapa pasukan pendaki dipercayai hilang akibat avalanche besar di gunung tertinggi di dunia itu berikutan gempa bumi tersebut. Negara jiran Nepal, India turut merasai gegaran kuat terutama di kawasan utara India susulan kejadian gempa bumi yang berpusat kira-kira 77 kilometer dari ibu negara Nepal, Kathmandu. -- Bernama