GEORGE TOWN: Gara-gara membawa tiga butir peluru hidup, seorang lelaki rakyat Indonesia ditahan ketika pemeriksaan bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Jumaat. Ketua Polis Daerah Barat Daya Superitendan Lai Fah Hin berkata, lelaki tersebut dikesan membawa objek mencurigakan ketika melalui mesin pengimbas di pintu masuk Balai Pelepasan Antarabangsa dalam pemeriksaan pukul 10.30 pagi itu. "Peluru jenis .32 R.P Auto itu ditemui dalam beg sandang lelaki berumur 41 tahun terbabit dan dia sepatutnya berlepas ke Medan pada 12 tengah hari semalam," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu. Fah Hin berkata, lelaki itu bertugas sebagai pegawai penjara di pejabat Kementerian Hukum dan Hak Asasi Manusia (HAM) Wilayah Sumatera Utara, namun tiada sebarang surat kebenaran untuk membawa peluru dikemukakannya. Fah Hin berkata, pihak Konsulat Indonesia telah dimaklumkan mengenai kejadian dan lelaki itu masih ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki peluru tanpa kuasa sah.