suria

PRK Permatang Pauh: Pemuda PAS Nekad Boikot Kempen PKR

Yusni Mat Piah

BUKIT MERTAJAM: Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang nekad untuk mengingkari arahan kepimpinan peringkat Pusat supaya membantu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh.

Tegas dengan pendirian mereka sebelum ini dalam mempertahankan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sayap parti itu kini mengarahkan jenteranya di semua peringkat supaya memboikot kempen PKR.

Sehubungan itu ketuanya, Mohd Yusni Mat Piah membekukan jentera dan aset mereka daripada terlibat dalam semua gerak kerja PRK Permatang Pauh.

"DPPNPP dengan ini menetapkan pendirian bahawa semua jentera dan petugas Pemuda PAS negeri direhatkan dari semua gerak kerja sepanjang PRK Permatang Pauh.

"Semua bilik gerakan pemuda tidak akan dibuka sama sekali. Mana-mana premis di bawah seliaan Pemuda juga tidak dibenarkan digunakan sepanjang PRK Permatang Pauh ini,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Selain itu, Mohd Yusni turut mengarahkan supaya semua unit atau badan di bawah Pemuda PAS Pulau Pinang  direhatkan serta merta.

“Kumpulan Alternatif Riding Club (ARC) bagi aktiviti konvoi anak-anak muda atau seumpamanya, petugas keselamatan Jabatan Amal Negeri dan semua guru PASTI juga akan direhatkan dari bertugas dalam PRK ini.

"Kami juga tidak akan terlibat dengan mana-mana jemputan untuk menyertai pentas ceramah sepanjang kempen untuk PRK Permatang Pauh,” katanya.

Menurut Mohd Yusni, pendirian tegas Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang itu dibuat ekoran kecewa dengan sikap berdiam diri Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang berhubung tuntutan maaf mereka.

"Tempoh yang diberikan kepada AMK Pulau Pinang sehingga hari penamaan calon (Sabtu) untuk menyatakan permohonan maaf telah tamat.

"DPPNPP kecewa atas sikap berdiam diri AMK Pulau Pinang dan juga helah politik PKR dan beberapa pimpinan tertentu PAS dalam mengurus desakan akar umbi PAS di Permatang Pauh,” katanya.

Sebelum ini, Pemuda PAS Pulau Pinang menuntut AMK Pulau Pinang memohon maaf berhubung kenyataan menghina kepada Presiden PAS berkaitan isu hudud.

Artikel Lain