Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata rumah PPR itu telah siap sepenuhnya dan kini dalam proses peringkat akhir kelulusan pinjaman Bank Rakyat sebanyak RM35 juta untuk para pembelinya.
"Apabila semuanya selesai nanti, setiap penghuni yang layak akan menerima pinjaman bank itu RM35,000 untuk seunit rumah dengan kadar bayaran balik RM125 sebulan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indera Petra 1 di sini, Ahad.
Tengku Razaleigh berkata kadar bayaran balik pinjaman itu adalah yang paling rendah dan mampu dibayar oleh pemilik rumah berkenaan.
"Tetapi oleh kerana keluasan kawasan itu tidak mencukupi untuk pembinaan 1,500 unit rumah, maka kerajaan terpaksa bina 1,000 unit dahulu manakala baki 500 unit lagi akan dibina di kawasan lain yang tapaknya telah dikenal pasti," katanya.