KUCHING: Kementerian Kerja Raya akan membuka pendaftaran lesen kontraktor gred G1 kepada pemohon yang memiliki kemahiran atau kepakaran khusus dalam sektor pembinaan mulai Mei ini, kata Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof. Beliau berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat kabinet yang lalu dengan mensyaratkan pemohon memiliki pengalaman dalam kerja-kerja pembinaan, syarikat berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan pemohon berumur 21 hingga 40 tahun. "Selain itu pemohon juga perlu memiliki kelulusan daripada institut pengajian tinggi awam atau swasta serta institut latihan perindustrian. Ini bermakna kontraktor gred G1 ini perlu ada sijil kecekapan dalam bidang-bidang pengkhususan," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Sarawak bersempena mesyuarat agung kali ke-16, di sini malam Sabtu. Turut hadir Presiden PKMM Datuk Mokhtar Samad dan Yang dipertua PKMM Sarawak Ismail Suut. Mengulas lanjut, Fadillah berkata, rasional pengenalan lesen kontraktor gred G1 yang memiliki pengkhususan kemahiran bertujuan memastikan kontraktor mempunyai kemahiran, menjamin mutu kerja dan melindungi hak-hak pengguna. "Kontraktor gred G1 yang memiliki pengkhususan kemahiran ini akan dapat menjamin dari segi mutu kerja lebih baik, melindungi pemilik rumah ataupun bangunan kerana mereka (kontraktor) berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan mempunyai kepakaran khusus," katanya. Ketika ditanya bagaimana nasib kontraktor gred G1 sedia ada, Fadillah berkata kontraktor sedia ada akan terus berjalan seperti biasa di samping mereka boleh turut memohon lesen sebagai kontraktor berkemahiran. "Dengan adanya pengkhususan ini, saya harapkan kontraktor gred G1 ini dalam jangka masa panjang adalah kontraktor pakar supaya mereka dapat bersaing dan kepakaran mereka itu dapat dilihat oleh orang ramai," katanya. Sementara itu, Mokhtar menyifatkan kementerian mengambil langkah bijak yang akan mengubah persepsi masyarakat mengenai kontraktor Melayu selain memberi ruang dan peluang kepada generasi muda yang mempunyai kelulusan untuk menceburi sektor pembinaan. "Saya harap kontraktor gred G1 sedia ada turut merebut peluang yang dibuka sebab kalau nak maju kena ada persaingan," katanya.-- Bernama