KUALA LUMPUR: Menteri-menteri Luar Asean memulakan mesyuarat peringkat tinggi pagi Ahad bagi membincangkan isu kepentingan bersama, termasuk pemupukan komuniti, visi Komuniti Asean pasca 2015 dan pelaksanaan zon waktu seragam. Berlangsung di Pusat Konvensyen KL, mesyuarat tertutup itu bermula pada 10 pagi, dan dipengerusikan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman. Menteri juga akan membincangkan isu Laut China Selatan. Selain Anifah, mesyuarat dihadiri rakan sejawatannya dari Kemboja, Hor Namhong, Retno L.P Marsudi (Indonesia), Dr Thongloun Sisoulith (Laos), U Wunna Maung Lwin (Myanmar), Albert F del Rosario (Filipina), K Shanmugam (Singapura), Datuk Seri Paduka Lim Jock Seng (Brunei), General Tanasak Patimapragorn (Thailand) dan Pham Bing Minh (Vietnam). -- Bernama