KUALA LUMPUR: Pada usia 46 tahun pekerja kilang Azemi Majid membuat keputusan meletakkan jawatan dan membuka gerai satenya di Shah Alam, Selangor menggunakan duit ganjaran sebanyak RM5,000. Menurut Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2014, beliau pada awalnya hanya mampu memperoleh pendapatan sekadar mencukupi sahaja untuk menyara keluarga antara RM700 hingga RM800 sebulan. Pendapatan itu tidaklah banyak berbanding dengan gajinya sebelum ini sebagai pekerja kilang tetapi semuanya itu berubah setelah beliau terpilih sebagai peserta program AZAM Tani oleh Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (MPIB) dan kini dia boleh membawa pulang pendapatan sebanyak RM3,500 hingga RM4,000 sebulan. Memetik kata Azemi dalam laporan berkenaan, beliau menerima bantuan peralatan berjumlah RM9,000 untuk menaik taraf gerai satenya dan diberi latihan kemahiran perniagaan untuk meningkatkan keupayaannya. "Saya masih bekerja setiap hari untuk memastikan perniagaan saya berjalan dengan lancar, tetapi saya tidak risau lagi tentang pendapatan saya. Yang lebih penting lagi, saya melakukan sesuatu yang amat saya minati," katanya. Dalam pada itu, jurulatih AZAM Tani beliau, Ahmad Miqdad Mohsin dipetik dalam laporan itu berkata, Azemi merupakan salah seorang daripada 18,000 individu miskin yang mendaftar dalam program itu yang telah mencipta banyak kisah kejayaan. Ahmad Miqdad berkata pencapaian Azemi amat baik kerana beliau mempraktikkan kemahiran yang dipelajarinya semasa latihan. Program AZAM Tani adalah antara aliran yang ada di bawah pelaksanaan program Akhiri Zaman Miskin (1AZAM) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Kata laporan itu AZAM Tani menyokong pembangunan peserta menerusi bantuan kewangan, latihan keupayaan, penyediaan kemahiran teknikal dan kemudahan lain. Menurut laporan itu, program 1AZAM merupakan program yang menyeluruh merentas pelbagai kementerian dan agensi daripada segi pelaksanaan.