suria

Kerajaan Sasar 55 Peratus Tenaga Kerja Wanita Menjelang Akhir 2015

Penyertaan wanita dalam tenaga kerja akan ditingkatkan kepada 55 peratus akhir tahun ini. Gambar Hiasan.

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mempertingkat penyertaan tenaga kerja wanita kepada 55 peratus menjelang akhir 2015 dan 30 peratus pada peringkat pembuat keputusan menjelang 2016.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, usaha itu dilakukan menerusi Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI) Pembangunan Modal Insan.

Sehubungan itu katanya, kerajaan berharap syarikat swasta menyediakan kemudahan sewajarnya bagi memperkasa peranan pekerja wanita di negara ini melalui pelaksanaan dasar mesra wanita di tempat kerja.

"Wanita adalah tulang belakang dan menjadi rakan kongsi pembangunan negara.

Oleh itu, hal ehwal pembelaan dan kebajikan wanita sentiasa menjadi agenda utama kerajaan," katanya dalam ucapan pada majlis Pelancaran Laporan Tahunan 2014 Program Transformasi Ekonomi (ETP), di sini, Selasa.

Beliau berkata, kerajaan juga memberi perhatian kepada inisiatif Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10) dan diperkukuhkan oleh kementerian-kementerian untuk mempercepatkan pembangunan tenaga kerja mahir.

"Di bawah SRI Pembangunan Modal Insan, pencapaian kita dalam bidang tenaga kerja dan guna tenaga begitu memberangsangkan dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

"Oleh itu kita akan meneruskan usaha untuk melonjakkan bilangan pekerja mahir kepada 50 peratus daripada tenaga kerja negara menjelang 2020," katanya.-- Bernama


ETP, wanita, SRI

Artikel Sebelum

Artikel Lain