suria

Asean Mahu Kod Tata Laku Di Laut Cina Selatan Segera Digubal

LANGKAWI: Asean berkata ia berkongsi kebimbangan serius yang disuarakan beberapa pemimpin serantau berhubung kegiatan menebus guna tanah di Laut China Selatan yang menghakiskan kepercayaan dan keyakinan serta boleh menjejaskan keamanan, keselamatan dan kestabilan di kawasan itu.

Sehubungan itu, para pemimpin Asean mahu agar perundingan tentang Kod Tata Laku (CoC) di Laut China Selatan dipergiatkan bagi memastikan satu CoC berkesan dapat disediakan dengan segera.

Ketika menegaskan tentang perlunya menyelesaikan persoalan berkaitan Laut China Selatan itu, para menteri luar perkumpulan 10 anggota itu diarah menanganinya dengan segera dan secara konstruktif melalui pelbagai rangka kerja Asean seperti hubungan Asean-China dan prinsip kewujudan bersama.

Perkara itu terkandung dalam Kenyataan Pengerusi yang dikeluarkan pada akhir Sidang Kemuncak Asean ke-26, yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta berlangsung di Kuala Lumpur dan Langkawi pada Ahad dan Isnin.

"Kami menekankan tentang perlunya semua pihak mengawal diri dalam menjalankan aktiviti dan tidak menggunakan ancaman atau kekerasan," katanya.

Pemimpin Asean juga menggesa pihak berkenaan supaya menyelesaikan perbezaan pendapat dan pertikaian antara mereka secara aman, berlandaskan undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut 1982.

Empat negara anggota Asean iaitu Brunei Darussalam, Malaysia, Filipina dan Vietnam, serta Taiwan dan China mempunyai tuntutan bertindih mengenai Laut China Selatan, yang dipercayai kaya dengan minyak dan gas.

Sidang kemuncak Kuala Lumpur/Langkawi itu juga memberi tumpuan terhadap peningkatkan sikap radikal dan pelampau keganasan.

Sehubungan itu, pemimpin serantau berkenaan berharap satu mesyuarat khas peringkat menteri Asean dapat diadakan di Kuala Lumpur untuk menangani ancaman yang semakin meningkat itu.

Mereka juga mengalu-alukan langkah menginstitusikan Mesyuarat Menteri Asean mengenai Perkara Berkaitan Dadah untuk memberi dorongan politik terhadap kerjasama serantau berkaitan perkara berkenaan.

Sidang kemuncak yang kali keempat dipengerusikan Malaysia itu menerima pakai tiga dokumen iaitu Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Asean Berorientasikan Rakyat, Berpaksikan Rakyat; Deklarasi Langkawi mengenai Pergerakan Kesederhanaan Global; dan Deklarasi Menginstitusikan Daya Tahan Asean serta Komuniti dan Warganya Terhadap Bencana dan Perubahan Iklim.

Dokumen pertama menetapkan rangka kerja bagi menerima pakai Visi Komuniti Asean Pasca 2015, yang memberi fokus terhadap rakyat dan alam sekitar.

Deklarasi kedua menegaskan bahawa kesederhanaan merupakan pendekatan menyeluruh dalam memupuk keamanan dan keharmonian sosial di rantau ini, manakala dokumen ketiga menekankan tentang kepentingan membina Komuniti Asean yang berdaya tahan terhadap bencana dan perubahan iklim.

Mengenai pekerja migran, pemimpin berkenaan meminta menteri tenaga kerja meneruskan usaha untuk memuktamadkan Instrumen Asean mengenai Perlindungan dan Penegakan Hak Pekerja Migran.

"Kami mengiktiraf sumbangan pekerja migran kepada masyarakat dan ekonomi Asean," kata mereka.

Di peringkat antarabangsa pula, Asean mengulangi sokongannya terhadap hak mutlak rakyat Palestin untuk menubuhkan negara Palestin yang merdeka dan pelaksanaan penyelesaian secara dua-negara, dengan Israel dan Palestin wujud sebelah-menyebelah secara aman.

Mengenai keadaan yang semakin buruk di Yaman, para pemimpin Asean menyeru semua pihak supaya mengawal diri dan menyelesaikan perselisihan mereka secara aman melalui dialog dan kembali kepada peta tindakan negara itu untuk melaksanakan transisi demokrasi secara inklusif.

Mengenai Timor-Leste pula, mereka memberi komitmen untuk menghulurkan bantuan terhadap proses pembinaan keupayaan negara itu.

"Kami menunggu hasil tiga kajian bebas yang dibuat mengenai permohonan Timor-Leste untuk menganggotai Asean," kata ketua negara dan kerajaan Asean itu.

Mereka juga mengalu-alukan pemilihan Malaysia sebagai anggota tidak tetap  Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi penggal 2015-2016 dan menyuarakan sokongan kepada calon dari Asean untuk menduduki kerusi itu pada masa akan datang.

Pemimpin Asean itu juga menyampaikan ucapan takziah kepada kerajaan dan rakyat Singapura atas kematian bekas perdana menteri, Lee Kuan Yew, dan menyifatkan mendiang sebagai negarawan tulen, yang memberi sumbangan penting kepada negaranya, Asean dan usaha membina komuniti serantau.-- Bernama

Asean, Laut Cina Selatan, CoC

Artikel Lain