suria

Wanita Tanggal Pakaian Di Petaling Street Didakwa

KUALA LUMPUR: Wanita yang menjadi popular kerana aksi menanggalkan pakaian di Jalan Petaling mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan berkelakuan tidak sopan di khalayak ramai.

Persana Avril Sollunda, 32, seorang model sambilan dan pekerja spa yang hadir bersendirian di mahkamah pada Selasa berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 294 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan tidak sopan di khalayak ramai.

Dia muncul tanpa ditemani oleh ahli keluarga mahukan sebarang kenalan. Dia juga gagal menjelaskan sebarang wang ikat jamin. 

Jika didapati bersalah dia berdepan dengan hukuman sehingga tiga bulan penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.

Majistret Zura Syazween Hamizan menetapkan 29 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Pada Sabtu, polis menahan seorang wanita dari Sabah, yang mana videonya menanggalkan jaket, baju dan coli di kawasan pelancongan popular selepas bergaduh dengan pemilik sebuah restoran nasi ayam kerana enggan membayar selepas makan di situ telah tersebar dalam Internet.

Kejadian itu berlaku pada pukul 4.30 petang Khamis lalu.

Dalam video itu, seorang wanita dilihat bertengkar dengan wanita yang dipercayai pemilik restoran berkenaan dan kemudian mula menanggalkan pakaian apabila dipaksa membayar apa yang dimakannya.

Wanita itu mendakwa dia telah meletakkan wang bayaran di atas meja.

Dia kemudiannya dilihat mula menanggalkan bajunya dan selepas itu coli dan selepas berbuat demikian, mereka yang menahannya mula melepaskan tangannya.

Wanita berkenaan selepas itu berjalan meninggalkan kawasan berkenaan.

Sehari kemudian, muncul klip kedua video wanita berkenaan berjalan menerusi Jalan Petaling tanpa memakai coli sambil berkata sesuatu kepada orang ramai. Malah dia tidak menghalang sesiapa sahaja yang merakamkan aksi separuh bogelnya itu.

Video berkenaan juga menjadi viral di internet kemudian.

Pada Ahad, polis yang berjaya menjejaki dan menahan wanita berkenaan mengesahkan bahawa dia positif methamphetamine.

Artikel Lain