suria

Hishammuddin Tak Ambil Kisah Krisis Dalaman Pakatan

Ketua Penyelarasan Jentera Barisan Nasional (BN) PRK Rompin, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein disambut dengan laungan "Hidup BN" oleh anggota Pemuda dan Puteri Umno Parlimen Marang yang bertugas membantu Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sungai Puteri, ketika membuat lawatan bertemu jentera, Rabu.

ROMPIN: Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan beliau enggan ambil tahu krisis dalaman pakatan pembangkang kerana khuatir ia akan menjejaskan fokus Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin dan Permatang Pauh.

Katanya, perkara yang paling penting ketika ini adalah untuk memastikan jentera kempen digerakkan bagi menjamin kemenangan calon BN.

"Saya tak nak cakap lebih, tapi saya nak sama ada jentera mereka bergerak atau tak di sini, kita (jentera) kena bergerak. Sama ada mereka mempunyai pasukan yang besar atau kecil, kita buat apa yang kita boleh buat.

"Jadi saya tak nak alih fokus jentera BN kepada sama ada gerakan pembangkang di sini kuat atau tidak. Tetapi saya tak nampak kesefahaman dan mesej jelas perjuangan mereka," katanya pada sidang di Kolej Komuniti Rompin, Rabu.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata, ketiadaan kehadiran pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dalam kempen PAS menunjukkan tiada kesepakatan diantara mereka.

"Saya tengok tak ada kesepakatan dalam gerakan mereka. Selain menidakkan dasar kerajaan dan mengutuk pemimpin BN, itu konsisten sama ada di Permatang Pauh atau Rompin," katanya.

Jelas beliau, pakatan pembangkang lebih cenderung mengkritik kerajaan berbanding mencari penyelesaian kepada isu peningkatan kos sara hidup, perumahan dan generasi kedua Felda.

"Itulah cara politik mereka, itulah cara berkempen sama ada ramai tak ramai, besar atau tidak, kaedahnya sama," kata Hishammuddin.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Sembrong itu meminta jentera BN untuk tidak mengambil mudah PRK Rompin demi memastikan peningkatan jumlah pengundi, terutama lebih 6,000 pengundi luar balik mengundi.

"Jangan ambil mudah PRK kali ini, pastikan jentera bersemangat dan pengundi keluar mengundi pada 5 Mei ini. Saya bukan sahaja terharu dengan semangat tinggi mereka, malahan setiap mereka tahu peranan masing-masing," katanya.

Sementara itu, Hishammuddin turut mengumumkan Kementerian Pertahanan telah membuka Pusat Pengumpulan Barangan untuk bantuan kemanusiaan ke Nepal di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang.

"Secara peribadi, sebenarnya ramai  rakyat kita ingin salur bantuan. Saya dapat panggilan semalam memaklumkan banyak barang dah dikumpulkan.

"Jadi saya cadangkan TUDM membantu kerana pesawat kita berulang -alik ke Nepal. Ia adalah satu usaha dari konteks kemanusiaan," katanya.

Terdahulu, Hishammuddin mengadakan lawatan ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sungai Puteri, Kuala Rompin dan Bandar Baru Rompin untuk bertemu pengundi di kawasan tersebut.


Artikel Lain