ALOR SETAR: Seorang bayi lelaki berusia lapan bulan meninggal dunia dipercayai akibat didera oleh ibu bapa angkatnya di sebuah rumah di Taman Rasa Sayang di Jitra, Sabtu. Berikutan itu, polis menahan sepasang suami isteri berumur 40 dan 30 tahun pada 6.45 petang tadi untuk siasatan lanjut, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah ACP Mohd Nashir Ya. "Pada 12.10 tengah malam tadi, Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan Hospital Jitra menerima bayi berumur lapan bulan yang tidak sedarkan diri. "Semasa diperiksa terdapat kesan lebam di bahagian kepala, badan dan kaki mangsa manakala di paha kanannya terdapat kesan luka lama selain tulang selangka kiri mangsa patah," katanya dalam kenyataan, Sabtu. Susulan itu,pegawai perubatan itu membuat laporan polis di Balai Polis Jitra pada 9.57 pagi tadi dan bayi itu dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk rawatan lanjut pada 11.55 pagi. Malangnya, bayi berkenaan meninggal dunia pada 4.04 petang tadi dan bedah siasat dijalankan ke atas mayatnya. Mohd Nashir berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.