SELAYANG: Lebih 100 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang leka bekerja di sekitar Pasar Borong Selayang lari bertempiaran dalam serbuan mengejut yang dilancarkan pagi Rabu. Serbuan yang bermula pukul 10 pagi itu, menyaksikan warga asing pelbagai negara yang sibuk mengendalikan urus niaga di pasar berkenaan kelam kabut meninggalkan tugas masing-masing apabila menyedari kehadiran pihak penguatkuasa tempatan. Kejadian itu berlaku ketika pelbagai agensi penguatkuasa diketuai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggempur pasar berkenaan menerusi Ops Tegas yang berjalan selama kira-kira dua jam. Penolong Pesuruhjaya Penguatkuasa DBKL, Osman Ismail berkata, pasar itu menjadi sasaran pihaknya selepas mendapat maklumat ia menjadi antara lokasi utama Pati berkumpul dan berniaga. "Dianggarkan lebih 100 Pati melarikan diri apabila menyedari kehadiran kami dan ada diantara mereka sanggup memanjat pembahagi jalan untuk mengelak ditangkap," katanya ketika ditemui di sidang media Ops Tegas, di sini. Bagaimanapun, kata Osman, 49 Pati membabitkan warga Nepal, Bangladesh dan Indonesia ditahan selepas gagal mempamerkan dokumen peribadi dan perjalanan yang sah. "Semua yang ditahan akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut," katanya sambil menambah operasi itu juga mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta beberapa agensi lain. Ditanya mengenai sejumlah besar Pati yang melarikan diri itu, beliau berkata, pihaknya akan terus memantau dan menjalankan operasi di kawasan berkenaan dari semasa ke semasa untuk mengesan saki baki warga asing itu. Dalam pada itu, Osman turut menasihatkan peniaga tempatan supaya tidak menyewakan premis perniagaan kepada Pati bagi mengelak lesen perniagaan dibatalkan serta merta dan disenaraihitamkan. "Lima peniaga turut diberi amaran kerana bersubahat melindungi Pati dengan mengambil mereka bekerja di premis masing-masing," katanya.