KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri bersetuju untuk menanggung kos bagi membawa pulang jenazah pelajar tajaan Yayasan Terengganu yang meninggal dunia setelah terbabit dalam kebakaran asrama di Rusia pada 22 April lalu. Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata insurans Nor Atikah Alias, 25, hanya meliputi kos perubatan hospital dan pengebumian di Rusia. "Kalau jenazah hendak dibawa pulang ke Malaysia, insuransnya tidak akan tanggung," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan sxco di Wisma Darul Iman pada Selasa. Nor Artikah, pelajar perubatan tahun akhir Universiti Perubatan Kajian Kebangsaan Rusia, Moscow meninggal di Unit Rawatan Rapi Hospital Sklifosovskogo kira-kira pukul 11 pagi waktu tempatan (4 petang waktu Malaysia) berikutan melecur 30 peratus pada muka, tangan dan kaki. Ahmad Razif berkata jenazah dijangka tiba paling awal malam Khamis, namun bergantung kepada urusan dokumen pihak kedutaan Malaysia di Rusia. "Kos bagi membawa pulang jenazah ke Malaysia ialah RM10,000 dengan penerbangan Emirates dari Moscow, transit di Dubai sebelum ke Kuala Lumpur. "Sebaik jenazah tiba di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur), kita akan menyambut dan menghantar jenazah bagi urusan pengkebumian di Kampung Bukit, Jeram Linang, Pasir Putih, Kelantan tempat keluarganya tinggal sekarang,"katanya. Ibu bapa Nor Atikah kini turut berada di Moscow. Nor Artikah adalah antara 24 pelajar Malaysia yang terbabit dalam kebakaran itu. Ahmad Razif berkata beliau akan mewajibkan pelajar dari Terengganu yang menyambung pengajian ke luar negara supaya mengambil insurans.