suria

PAS Bangga Walau Kalah, Anggap Pencapaian Di PRK Rompin 'Luar Biasa'

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
ROMPIN: Walaupun gagal merampas kubu kuat Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin, PAS menganggap keputusan yang diperolehi calonnya, Nazri Ahmad sebagai satu pencapaian luar biasa.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti itu berbangga dan berpuas hati dengan pencapaian tersebut.

Malah, katanya, PAS berjaya memenangi undi di lima Pusat Daerah Mengundi (PDM) jika dibandingkan hanya satu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), dua tahun lalu.

"Kami berjaya meningkatkan undi di hampir kesemua pusat mengundi termasuk beberapa di tanah rancangan Felda," katanya kepada pemberita selepas keputusan rasmi pengundian diumumkan, malam Selasa.

PRK Rompin pada kali ini menyaksikan calon BN, Datuk Hasan mempertahankan kerusi tersebut apabila memperoleh 23,796 undi menewaskan Nazri yang mendapat 14,901 undi.

Hasan yang juga Pemangku Ketua Umno Bahagian Rompin mendapat majoriti 8,895 undi.

Ia majoriti undi yang lebih kecil berbanding 15,114 yang diraih pada PRU-13.

Ketika ditanya mengenai trend pengundi muda pada kali ini, Tuan Ibrahim berkata terdapat peningkatan sokongan pengundi muda terhadap parti itu.

"Kami mendapat sokongan dikalangan pengundi muda. Ia satu peningkatan," katanya.

Tuan Ibrahim turut menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya mempertimbangkan setiap PRK diadakan pada hari cuti agar pengundi muda yang bekerja di luar dapat balik mengundi.

"Berlaku kemerosotan di saluran 3 dan 4 di mana kebanyakan orang muda tidak pulang mengundi kerana PRK ini diadakan pada hari bekerja.

"Walaupun SPR berhak menetapkan tarikh pilihan raya pada bila-bila masa tapi hak rakyat tidak harus diabaikan. Kami harap SPR dapat pertimbangkan pengundian pada masa akan datang dibuat pada hari cuti," katanya.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata pencapaian tersebut meningkatkan keyakinan parti itu untuk menawan Parlimen Rompin pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang akan datang.

"Walaupun belum lagi mencapai kemenangan mengalahkan BN dalam PRK ini, ianya adalah satu kemenangan kerana berjaya mengetengahkan isu-isu yang begitu dekat dengan anak muda khususnya isu Hudud , GST dan lain-lain lagi.

"Rakyat memahami dan menterjemahkannya dengan mengurangkan majoriti BN separuh daripada yang diperolehinya dalam PRU-13 dua tahun lalu," kata Muhammad Khalil.

Sementara itu, Nazri berkata beliau amat berpuas hati dengan keputusan tersebut berhasrat untuk bekerja lebih keras pada pilihan raya yang akan datang.

"Terima kasih kepada para pengundi, pimpinan tertinggi PAS yang memberi kepercayaan kepada saya untuk mewakili parti dan juga jentera parti yang bekerja keras sepanjang kempen," katanya.

Artikel Lain