Beliau berkata pengurangan majoriti undi itu disebabkan peratusan keluar mengundi yang merosot selain isu cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan Felda yang dibangkitkan pembangkang dalam kempen mereka.
"Saya puas hati (keputusan) kerana ini adalah Pilihan Raya Kecil (PRK), cuti yang panjang. Jadi kita lihat peratus pengundi keluar turun.
"Dalam konteks hari ini dengan pelbagai isu secara kebetulannya isu GST, Felda... ia isu penting dalam pilihan raya. Secara kebetulan GST baharu dilaksanakan dan kebetulannya PRK diadakan di Rompin," katanya.
"Ia petanda keyakinan pengundi kepada kepimpinan Najib. Ini perkara pokok," katanya.
Ketika ditanya apa rancangan selepas ini, Hasan memberitahu beliau akan bertemu pengundi pada Rabu untuk mengucapkan terima kasih kerana memberi peluang kepada saya untuk mewakili suara mereka di Parlimen.
"Insya-Allah saya akan turun bertemu penduduk untuk mengucapkan terima kasih di atas sokongan mereka," katanya.
Sementara itu, beliau turut akan mengotakan janjinya dengan tumpuan diberikan kepada pembangunan generasi muda dan memajukan sektor pertanian di kawasan ini.
"Saya tidak akan mengabaikan harapan rakyat. Sepanjang berkempen sedikit sebanyak sata memahami, menyelami permasalahan, rungutan dan isu yang dibangkitkan pengundi," katanya.
Pada PRK kali ini, Hasan menewaskan calon PAS, Nazri Ahmad dengan mendapat majoriti 8,895 undi.
Hasan memperoleh 23, 796 undi manakala Nazri 14,901 undi.