PERMATANG PAUH: Pendekatan toleransi sifar harusdiguna pakai terhadap pedofilia, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin. Beliau berkata perbuatan pedofilia tidak harus dibiarkan berlaku di negara bertamadun seperti Malaysia. Khairy juga berharap Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan menolak cadangan membuat rayuan bagi pelajar tajaannya Nur Fitri Azmeer Noordin, 23, yang kini menjalani hukuman penjara di London setelah disabit kesalahan memiliki lebih 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak. "Ini adalah peringatan kepada lembaga Mara, jangan terpengaruh dengan pandangan anggota-anggota majlisnya...(sebab) kita perlu ada toleransi sifar terhadap jenayah pedofilia," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Sama Gagah di sini, Rabu. Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO diminta mengulas kenyataan anggota jawatankuasa eksekutif Pemuda sayap itu Nazir Hussein Akhtar Hussein yang juga anggota lembaga Mara bahawa Nur Fitri Azmeer harus diberi peluang kedua. Nazir Hussein, dalam laporan berita baru-baru ini, dipetik sebagai berkata Nur Fitri harus diberi peluang untuk meneruskan pengajian sebaik menjalani hukuman dan kembali ke Malaysia. Mengulas lanjut, Khairy berkata Nazir mengeluarkan kenyataan atas sifatnya sebagai anggota lembaga Mara dan bukan mewakili UMNO. Pada 2 Mei lepas, Mara menamatkan pinjaman pengajian Nur Fitri Azmeer dengan serta merta selepas pelajar itu disabitkan kesalahan oleh mahkamah di London pada 30 April kerana memiliki imej dan video lucah kanak-kanak. Portal berita United Kingdom International Business Times melaporkan bahawa Nur Fitri Azmeer dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Southwark Crown, London selepas mengaku bersalah terhadap 17 kesalahan memiliki gambar dan video lucah kanak-kanak dengan niat untuk menyebarkannya.