KUALA KANGSAR: Istiadat Tabal Adat bagi pertabalan Sultan Perak XXXV Sultan Nazrin Shah berlangsung di Istana Iskandariah, Bukit Chandan di sini hari ini dalam suasana penuh tradisi dan adat resam Kesultanan Melayu Perak. Istiadat Tabal Adat yang menandakan kesinambungan teraju pemerintahan Perak itu bermula dengan para jejawat yang membawa masuk masing-masing 16 lembing dan payung kerajaan mengambil tempat di kiri kanan Balairung Seri. Paluan Nobat yang memainkan lagu 'Raja Berangkat' serentak mengiringi keberangkatan tiba Sultan Perak dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim yang masing-masing lengkap berpakaian songket kuning diraja. Terdahulu Sultan Nazrin Shah menerima Hormat Diraja yang diiringi lagu kebesaran negeri Perak Darul Ridzuan oleh pasukan pancaragam Tentera Laut Diraja Malaysia di dataran istana pada pukul 9 pagi. Baginda kemudian berkenan memeriksa Kawalan Kehormat pasukan Rejimen Askar Jurutera Diraja Divisyen 2 sebelum istiadat tersebut diteruskan di Balairung Seri. Sultan Nazrin Shah segak dengan persalinan yang dilengkapi, antaranya, tanjak, Rantai Bunga Nyiur (rantai panjang berkerawang seperti bunga nyiur yang dipakai bersilang) dan Pontoh Bernaga (sepasang gelang yang disarung di lengan kanan dan kiri Sultan Perak) manakala Tuanku Zara memakai antara lain tiara, Agok (kalung emas), Dokoh (perhiasan emas berpermata) dan Pontoh Ular Lidi - kesemuanya merupakan Perkakasan Kebesaran Kerajaan Negeri. Pasangan diraja itu diiringi Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa serta Raja Puan Besar Perak Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah, Raja Di-Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain dan Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Sultan Abdul Halim. Orang Kaya-Kaya Seri Adika Raja Shahbandar Muda Datuk Ir Mohamad Othman Zainal Azim menghadap Sultan Perak bagi memohon perkenan untuk memulakan istiadat disusuli bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh Radhi Kamarul Hailan, yang merupakan tenaga pengajar al-Quran di Perak. Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan Datuk Dr Muhammad Afifi Al-Akiti yang menatang al-Quran diiringi seorang Panglima dan dua Bentara masuk ke Balairung Seri bagi mempersembahkan kitab suci itu kepada Sultan Nazrin Shah di singgahsana yang dihiasi bunga emas pada kiri dan kanannya. Sultan Nazrin Shah kemudian mengucup al-Quran dan meletakkannya di atas tempat khas yang disediakan di sebelah kanan baginda. Istiadat Tabal Adat diteruskan dengan Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral (B) Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin membaca Watikah Permasyhuran Pertabalan Sultan Perak yang ditatang oleh Setiausaha Dewan Negara Perak Toh Amar Seri Diraja Datuk Ayob Hashim. Seusai pemasyhuran dibacakan, Raja Chik Muda Pawang Diraja mengambil peranan mempersembahkan Pedang Cura Simanja Kini kepada Sultan Perak, yang kemudian mencabut pedang itu daripada sarung sebelum mengucupnya. Mohd Zahidi kemudian mengangkat sembah dan melaungkan 'Daulat Tuanku' sebanyak tiga kali diikuti sekalian hadirin. Sejurus itu, Nobat dipalu serentak dengan tembakan meriam 21 das dilepaskan. Toh Seri Nara Diraja Mohd Shah Nong Chik kemudian naik ke singgahsana mempersembahkan 'Mestika Embun' dan menyunting 'Cap Halilintar' (mohor yang diperbuat daripada perak) ke telinga kanan Sultan Perak sambil membisikkan 'Rahsia Nisab Sultani' (asal-usul Sultan). Selepas itu, istiadat Pemasyhuran Penganugerahan Gelaran Raja Permaisuri Perak diteruskan dengan bacaan watikah pemasyhuran oleh Mohd Zahidi. Tuanku Zara Salim bangun menyembah Sultan Nazrin Shah yang kemudian menyemat 'Bunga Pencawa Pencara' di kepala Raja Permaisuri Perak. Apabila selesai pengisytiharan dibacakan, sekali lagi Mohd Zahidi mengangkat sembah dan melaungkan 'Daulat' sebanyak tiga kali diikuti sekelian hadirin serta paluan nobat. Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa serta Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir masing-masing mempersembah ucapan tahniah dan taat setia bagi pihak raja-raja dan Orang Besar Perak Darul Ridzuan serta mewakili kerajaan dan rakya