BUKIT MERTAJAM: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyifatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh sebagai yang paling ganas dengan banyak insiden provokasi antara penyokong parti-parti politik yang bertanding. Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata tindakan penyokong yang terlalu beremosi antara penyebab berlakunya perkara tidak diingini. "Sehingga hari ini, PRK ini yang paling buruk pernah saya alami dengan keganasan penyokongnya dan banyak insiden yang berlaku," katanya kepada pemberita selepas ditemui di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sini,Khamis. Beliau berkata para penyokong pada PRK Permatang Pauh sangat agresif berbanding PRK Rompin, hingga menyebabkan ada yang cedera dan harta benda rosak. Mengenai mereka yang melanggar peraturan berkempen, Abdul Aziz berkata SPR akan menyerahkan perkara itu kepada polis untuk siasatan dan tindakan. - Abdul Aziz berkata semua aduan yang diterima SPR juga akan diserahkan kepada polis untuk disiasat. "Polis akan lakukan siasatan dan sekiranya mereka mempunyai bukti kukuh, kesitu akan diserahkan kepada AG (Pejabat Peguam Negara) untuk tindakan selanjutnya," katanya. Semasa proses pengundian tengah hari tadi, seorang pemberita dan seorang anggota polis cedera akibat 'perang' objek yang dibaling oleh penyokong kedua-dua pihak, selain kereta SPR turut dirosakkan. Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh menyaksikan pertandingan empat penjuruantara calon BN Suhaimi Sabudin, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Azman Shah Othman (PRM) dan Salleh Isahak (Bebas).