suria

Tabung Haji: Pembelian Tanah Di TRX Bukan Langkah Menyelamat 1MDB

Johan Abdullah membuat laporan polis di IPD Dang Wangi, Khamis. foto M.AZHAR ARIF/The Star

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji menafikan dakwaan bahawa pembelian sebidang tanah di Tun Razak Exchange (TRX) bernilai RM188.5 juta adalah untuk menyelamat syarikat pembangunan strategik milik kerajaan, 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang memiliki tanah tersebut.

Sebaliknya, Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Johan Abdullah berkata ia merupakan pelaburan yang baik.

Katanya, mereka mahukan sebidang tanah untuk tujuan pembangunan.

"Ini bukan tindakan untuk menyelamat, kami tidak menyalurkan wang secara membuta tuli ke dalam sebuah syarikat," katanya dalam sidang media di sini, Khamis.

Johan berkata sama ada 1MDB memperoleh tanah tersebut dengan harga murah adalah relatif dan tidak menjadi sebahagian daripada pertimbangan Tabung Haji.

1MDB membeli keseluruhan 70 ekar pada harga RM194.1 juta manakala tanah yang dibeli Tabung Haji adalah seluas 1.6 ekar.

"Pertimbangan kami adalah sama ada ia satu pelaburan yang kukuh dan berapa banyak potensi pulangan yang mesti berdaya saing," katanya.

Beliau berkata harga bagi tanah itu adalah berdasarkan penilaian profesional bebas.

"Bagi menjamin ketelusan dan urus tadbir yang prihatin, kami melakukan segala usaha sewajarnya yang diperlukan. Ia bukan gesaan yang dibuat mana-mana individu. Pelaburan itu memenuhi profil ganjaran risiko Tabung Haji.

"Tiada mana-mana individu boleh membuat gesaan itu tanpa proses dalaman yang merangkumi panel pelaburan kami, ahli kembaga dan dibawa ke peringkat kementerian," katanya.

Pada Selasa, blog yang dikenali sebagai The Benchmark mendedahkan satu set dokumen yang kononnya memperincikan pembelian dua bidang tanah di TRX pada harga yang tidak berpatutan daripada 1MDB.

Lot tanah pertama didakwa dibeli pada harga RM194 juta dengan RM2,860 sekaki persegi manakala tanah yang kedua bernilai RM578 juta iaitu RM3,900 sekaki persegi.

Johan mengakui lot tanah kedua - Signature Tower di TRX - ditawarkan kepada mereka.

"Ia ditawarkan tetapi kami tidak fikir ia cadangan nilai yang baik dan kami menolaknya," kata Johan.

Johan berkata beliau akan mengkaji secara peribadi bagaimana dokumen tersebut boleh bocor dan akan membuat laporan polis berhubung perkara itu.

"Kami akan meneliti perkara ini. Ia tidak adil kepada Tabung Haji," katanya.

Beliau kemudiannya membuat laporan polis berhubung dakwaan itu.



Tabung Haji, TRX, 1MDB

Artikel Lain