PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak mahu pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara), Nur Fitri Azmeer Nordin yang dipenjara kerana kesalahan memiliki pelbagai bahan lucah melampau membabitkan kanak-kanak menjalani sesi kaunseling untuk memastikan dia tidak mengulangi perbuatan itu. "Saya tidak setuju dengan cadangan atau komen bahawa kerajaan akan merayu kes Nur Fitri Azmeer Nordin untuk mengurangkan hukuman, lebih-lebih lagi menggunakan dana awam untuk tujuan itu. "Nur Fitri dibicarakan mengikut sistem perundangan Britain dan diberi peluang untuk mempertahankan dirinya sebelum didapati bersalah. "Kesalahan yang dilakukannya adalah serius," kata Najib menerusi NajibRazak.com. Perdana Menteri berkata, proses perundangan di negara itu perlu dihormati dan sesiapa yang didapati bersalah perlu dikenakan hukuman setimpal. "Nur Fitri perlu diberi kaunseling supaya dia tidak mengulangi kesalahan sama demi kebaikan dirinya dan juga masyarakat. "Ia perlu dilaksanakan supaya dia dapat diterima dalam masyarakat kelak," katanya.