PETALING JAYA: Menteri Pelancongan Datuk Seri Nazri Aziz menolak dakwaan terlibat dalam rancangan menggulingkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri. "Ia adalah mengarut. PM sedar bahawa saya berada di sini adalah kerana bertugas," katanya kepada The Star Online pada Isnin. Beliau berkata demikian ketika dihubungi di Milan atas urusan melakukan lawatan kerja rasmi. Tambah Nazri, lawatannya ke Dubai dan Milan diluluskan oleh Kabinet pada mesyuarat yang dipengerusikan oleh Najib. Dalam posting blog pada Ahad, Datuk Zaid Ibrahim berkata beliau diberitahu bahawa Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bertemu tokoh penting Umno termasuk Nazri dan Datuk Seri Mustapa Mohamed di Itali untuk membincangkan mengenai menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Muhyiddin. Apabila ditanya sama ada beliau menyokong Najib, Nazri berkata dia diajar untuk sentiasa menyokong pemimpin. "Bagi saya, ia adalah sangat mudah. Perdana Menteri berkata beliau dipilih oleh rakyat dan ahli-ahli parti dan dia tidak akan berundur. "Saya juga menyahut nasihat Tun M yang pernah berkata bahawa satu kapal hanya perlu seorang kapten. "Kita perlu berpegang kepada seorang kapten dan kapal itu akan selamat,- kepten itu adalah Najib," katanya. Apabila ditanya mengenai perjanjian tanah Tabung Haji dengan 1MDB, Nazri berkata perkara itu tidak menjadi kebimbangan kerana ia bukan dibawah portfolio beliau. "Saya percaya apa yang PM lakukan. Saya yakin PM tidak mahu parti ini jatuh," katanya.