KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO menjadi medan untuk anggota-anggotanya meluahkan kegusaran mereka mengenai isu-isu yang melanda parti dan kerajaan, namun semuanya berpuas hati setelah penjelasan terperinci diberikan oleh Perdana Menteri yang juga Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak. Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata walaupun pelbagai isu dibangkitkan, semua telah bersuara dan nyata berpuas hati. "Semuanya sepakat sokong beri penjelasan isu berbangkit," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarata MT UMNO di sini, Isnin. Antara isu yang dibangkitkan pada mesyuarat itu ialah mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pembelian tanah di Tun Razak Exchange oleh Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) serta prestasi parti pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin dan Permatang Pauh. Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan mesyuarat hari ini adalah lebih kepada muhasabah parti. "Ini menunjukkan khabar angin berhubung perpecahan dalam kalangan anggota UMNO adalah tidak benar," katanya. Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin berkata perbincangan dalam kalangan anggota MT hanya menyentuh mengenai isu-isu semasa, bukannya kedudukan mana-mana pemimpin di dalam parti. Malah, katanya dakwaan bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin dalam blognya kononnya terdapat gerakan dalam UMNO yang mahukan Najib meletak jawatan, adalah satu dakwaan yang sama sekali tidak berasas. Khairy berkata Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Perdana Menteri, turut memaklumkan kepada mesyuarat MT itu bahawa dakwaan bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim kononnya terdapat perjumpaan rahsia antara beliau dan pihak lain semasa lawatan kerjanya ke Milan, Itali baru-baru ini, juga tidak berasas. Sementara itu, Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil berkata ikatan silaturrahim antara anggota MT adalah semakin kuat dan perlu dikekalkan walaupun dihimpit pelbagai isu ketika ini. "Kita perlu berada dalam satu barisan yang kuat memberi sokongan padu kepada Presiden dan Timbalan Presiden parti, dan bukannya meninggalkan barisan ketika masalah melanda," katanya. Sementara itu, anggota MT Datuk Seri Hasan Malek yang juga Menteri Perdagangan, Koperasi dan Kepenggunaan berkata majoriti anggota MT meminta siasatan terhadap 1MDB dipercepatkan supaya kegusaran rakyat dapat dikurangkan melalui penjelasan berterusan daripada fakta dan bukannya dakyah pembangkang. Seorang lagi anggota MT Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang juga Pengerusi Tabung Haji berkata penjelasan mengenai isu lembaga itu diterima baik oleh majoriti anggota MT. Malah, katanya beliau turut menerima nasihat membina daripada anggota-anggota lain MT. "Saya merayu kepada rakyat di luar sana agar jangan terpedaya dengan dakyah, permainan politik. Saya tidak pernah main politik dalam Tabung Haji. "Ini kerana, saya jadi pengerusi (Tabung Haji) untuk semua, untuk ummah. Kerja saya buat selama ini untuk semua ummah tanpa ada batasan politik," jelasnya. -- BERNAMA