suria

Ulang Tahun Umno Ke-69 Disambut Sederhana, Najib Terus Terima Sokongan

KUALA LUMPUR: Berdepan pelbagai isu dan kritikan, Majlis Ulang Tahun Umno ke-69 tetap berjalan lancar dengan sambutan serba sederhana, namun meriah.

Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak berserta timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin masih lagi menjadi figura yang paling ditunggu-tunggu, sekali gus menjadi penyeri kepada majlis makan malam yang diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam Isnin.

Ini dapat dilihat ketika Najib dan Muhyiddin melangkah masuk ke dewan pada pukul 9.10 malam, di mana kedua mereka diberi tepukan gemuruh oleh tetamu yang telah menunggu sejak lewat petang.

Tepukan yang diberikan memperlihatkan seolah-olah mereka terlupa seketika akan serangan bertubi-tubi daripada pihak tertentu di luar sana terhadap Umno dan pucuk pimpinannya sejak akhir-akhir ini.

Kibaran bendera saat lagu Umno berkumandang di segenap dewan pula bagai melenyapkan cakap-cakap bahawa Najib dan Umno di bawah pimpinannya semakin lemah dan bakal tumbang.

Sedar parti berdepan cabaran, saat doa dibacakan oleh Datuk Seri Jamil Khir Baharom, hadirin dilihat khusyuk dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap setiap bait-bait doa dengan harapan parti akan terus kukuh walau berdepan segala macam rintangan dan kritikan.

Pengerusi Veteran Umno Tan Sri Tajol Rosli Ghazali dalam ucapannya telah menyatakan pendirian untuk terus setia dan menyokong Umno yang diterajui Najib.

"Semangat kecintaan dan sayangkan Umno membuatkan kami tidak rela melihat Umno berkubur terutama apabila melihat ia diserang daripada pelbagai sudut,"'katanya yang turut menerima tepukan daripada tetamu.

Najib, yang segak berbaju Melayu merah dan bersongkok tampil ke pentas kira-kira pukul 10.20 dalam keadaan bersemangat untuk menyampaikan mesej keramatnya.

Seperti biasa, 'Salam 1 Malaysia' menjadi pembuka bicara sebelum beliau menyampaikan mesej 'Melayu Bersatu' yang dianggap sebagai mesej paling bernilai pada ulang tahun Umno kali ini.

"Saya percaya inilah mesej yang tidak ternilai apabila kita berhimpun malam ini.

"Sebut (bersatu) mudah, tapi untuk menghayati dan mengamalkannya lebih sukar, namun boleh jadi kenyataan bila niat kita tak penting, Umno lebih penting," katanya.

Dalam pada itu beliau turut mengingatkan agar Umno menjadi parti yang relevan dengan perubahan persekitaran.

Katanya, untuk memastikan parti terus kukuh beliau percaya bahawa  formula taat setia dan memberi sokongan kepada pemimpin masih relevan walau persekitaran telah berubah.
Ulang Tahun Umno, Najib

Artikel Lain