PETALING JAYA: Hanya dengan menggunakan cara yang betul Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dapat diganti, bukan melalui rampasan kuasa secara rahsia, kata bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim. "Saya menerima panggilan daripada sumber Umno bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin telah bertemu tokoh penting Umno termasuk Tun Daim Zainuddin, Datuk Seri Nazri Aziz dan Datuk Seri Mustapa Mohamed di Itali untuk membincangkan tentang penyerahan jawatan Perdana Menteri kepada Muhyiddin. "Saya tidak tahu sama ada pertemuan ini akhirnya akan menyebabkan Najib digantikan, tetapi saya hanya tidak bersetuju dengan jenis cara yang dilakukan secara senyap-senyap untuk menggantikan pemimpin yang telah dipilih," kata Zaid dalam posting blog pada Ahad. Zaid yang berkata beliau menerima panggilan semasa berada di Hokkaido, Jepun, menambah walaupun tidak tahu setakat mana sumbernya itu boleh dipercayai, beliau berharap plot yang dikatakan itu bukan sebahagian daripada rancangan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menukar kepimpinan. "Perdana Menteri boleh diganti hanya melalui proses yang sah dan diiktiraf seperti yang biasa dilakukan dalam sistem demokrasi berparlimen. Sama ada terdapat perubahan dalam kepimpinan parti, iaitu Perdana Menteri, atau terdapat satu undi tidak percaya di Parlimen terhadap Perdana Menteri. Tidak ada cara sah yang lain," kata Zaid. Tambahnya, perlu ada perbahasan di Parlimen mengenai Najib dan kapasitinya sebagai Perdana Menteri. "Saya percaya perbahasan di Parlimen mengenai Perdana Menteri perlu dilakukan. Jika terdapat apa-apa salah laku atau kesalahan yang dilakukan dalam cara beliau mengendalikan 1MDB, biarkan mereka yang membuat dakwaan mengemukakan hujah-hujah mereka dalam Dewan Rakyat dan membolehkan rakyat, melalu ahli Parlimen mereka, mempertimbangkan perkara tersebut sebelum mengundi. Mesyuarat rahsia di Milan bukan cara demokratik," kata Zaid. Tambahnya, walaupun tanpa skandal melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), negara masih berdepan keadaan rumit kerana rasuah di kalangan pemimpinnya. "Walaupun tanpa isu seperti itu, Malaysia tetap berada dalam satu keadaan yang sangat rumit kerana kita mempunyai pemimpin-pemimpin yang terlibat rasuah. Rasuah adalah masalah terbesar yang kita hadapi, dan seolah-olah tidak ada orang di luar sana yang bersedia untuk membantu menyingkirkan masalah ini," kata Zaid. Tambahnya, isu-isu melibatkan 1MDB merupakan contoh terbaik. "Yang gilanya apabila 'orang-orang' Perdana Menteri mempertahankan dakwaan terhadap beliau dengan mengatakan bahawa ia tiada beza dengan ketika kepimpinan Dr Mahathir. Jangan cakap perkara yang tidak masuk akal itu. Hanya kerana amalan rasuah berlaku sebelum ini, bukan alasan untuk rasuah diterima sekarang," kata Zaid. Beliau berkata rakyat tidak mahu pemimpin yang korup dan ini adalah masa untuk rakyat membenci pemimpin-pemimpin yang diketahui korup. Beliau juga menegaskan bahawa Najib tidak mengarahkan Ketua Audit Negara untuk melakukan audit forensik ke atas 1MDB. Katanya, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melakukan perkara yang betul dengan meminta PricewaterhouseCoopers mengaudit Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dan melalui penyiasatan itu kerajaan dan rakyat mendapat tahu apa yang berlaku," kata Zaid.