suria

Malaysia Bincang Dengan Bangladesh, Myanmar Mengenai Pati

Alwi Ibrahim.
PUTRAJAYA: Malaysia akan mengadakan perbincangan segera dengan Bangladesh dan Myanmar bagi mencari penyelesaian berhubung kebanjiran Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) Rohingya dan Bangladesh di Langkawi.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Alwi Ibrahim berkata pihaknya mendapati wujud elemen penyeludupan migran ekoran kerelaan Pati dari kedua-dua negara berkenaan untuk datang ke Malaysia.

Selain itu pihak Thailand juga akan dilibatkan dalam perbincangan bersama Dhaka dan Yangon susulan kes-kes penyeludupan migran menerusi sempadan Malaysia-Thailand melibatkan Pati Rohingya serta Bangladesh, katanya dalam satu kenyataan di sini Selasa.

Menurut Alwi seramai 1,158 Pati Rohingya dan Bangladesh terdiri daripada 993 lelaki, 104 perempuan dan 61 kanak-kanak tiba di Langkawi sejak 10 Mei lalu. 

"Daripada jumlah tersebut, seramai 486 orang merupakan warga Myanmar manakala 672 orang warga Bangladesh," katanya.

Alwi berkata semua Pati berkenaan dipindahkan secara berperingkat mulai hari ini (12 Mei) ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Kedah. 

Proses pemindahan tersebut melibatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM); Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), Polis Marin dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM).

Kementerian Dalam Negeri pada Selasa juga telah mengadakan Mesyuarat Penyelarasan Antara Agensi melibatkan Kementerian Luar Negeri; Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis DiRaja Malaysia (PDRM); JIM dan APMM bagi membincangkan isu kebanjiran Pati itu. 

Pada Isnin, Ketua Polis Daerah Langkawi Supt Harrith Kam Abdullah berkata pihaknya mendapat maklumat kemungkinan kemasukan ramai Pati ke pulau itu dalam masa terdekat. 

Harith berkata maklumat itu diperoleh ekoran tertangkapnya lebih 1,000 orang Pati dari Bangladesh dan Myanmar awal pagi Isnin.

Hasil siasatan awal polis, kumpulan Pati ini mendakwa ditawarkan oleh ejen di negara masing-masing untuk bekerja di Malaysia dengan menjanjikan pendapatan yang lebih baik.

Pati, Rohingya, Alwi Ibrahim

Artikel Lain