suria

Polis Buru Pesalah Trafik Minggu Depan

KUALA LUMPUR: Polis akan memburu pesalah trafik yang masih belum menyelesaikan waran tangkap atau saman mereka apabila Ops Warta dimulakan minggu depan.

Ketua Polis Trafik Bukit Aman, Datuk Mohd Fuad Abd Latiff berkata, tempoh dua minggu telah diberikan tetapi sebilangan besar pesalah trafik tidak membayar saman mereka.

"Pada Isnin, rekod kami menunjukkan hanya 18,260 saman dengan status waran tangkap telah diselesaikan.

"Saya menggesa pesalah trafik untuk berfikir dengan bijak dan mengambil peluang yang diberikan untuk membayar saman mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mohd Fuad berkata bermula minggu depan, anggota polis akan menjalankan tugas mereka untuk mengesan pesalah trafik dengan waran tangkap.

"Saya memberi amaran kepada mereka untuk menyelesaikan saman dengan segera. Sekiranya gagal, mereka akan dibawa ke mahkamah.

"Dan jika mereka enggan bekerjasama, polis akan menggunakan prosedur tahanan termasuk menggari pesalah," katanya.

Mereka yang ingin menyemak saman boleh berkunjung ke kaunter polis trafik di seluruh negara atau layari www.myeg.com.my dan www.rilek.com.my.


Artikel Lain