suria

Pencipta Lagu Rasmi Umno Terharu Diberi Pengiktirafan

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (tiga dari kanan) dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin (tiga dari kiri) memberi tepukan kepada penerima Anugerah Tokoh Melayu Terbilang, Datuk Dr Johari Saleh (kanan) dan Datuk Siti Rahmah Kassim (dua dari kiri) pada Sambutan Hari UMNO sempena Ulang Tahun ke-69 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam Isnin. Turut sama, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (dua dari kanan) dan Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (kiri). -- fotoBERNAMA

PETALING JAYA: Jasa pencipta lagu rasmi Umno iaitu 'Bersatu, Bersedia, Berkhidmat', Datuk Johari Salleh diiktiraf apabila menerima Anugerah Tokoh Melayu Terbilang sempena Ulangtahun Umno ke-69 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Isnin malam.

Pencipta lagu tersebut, yang juga  seorang komposer dan guru muzik berasa teruja dengan pengiktirafan yang diberikan malahan tidak menyangka akan menerima anugerah tersebut daripada Umno selepas 29 tahun lagu parti itu berkumandang.

"Saya tidak sangka akan dipilih oleh Umno untuk menerima anugerah ini dan sememangnya saya terharu ketika mendengar berita akan diberi pengiktirafan.

"Pada masa sama, saya tidak menyangka bahawa lagu ini akan berkumandang sehingga ke hari ini sejak 1986," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini pada Isnin.

Bercerita lebih lanjut, Johari memberitahu beliau mencipta lagu itu selepas diminta oleh isteri bekas perdana menteri keempat, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

"Sumber utama saya mencipta lagu ini adalah disebabkan permintaan daripada Tun Dr Siti Hasmah supaya menghasilkan sebuah lagu rasmi Umno," katanya.

Menurutnya lagi, beliau tidak mengambil masa yang lama untuk menghasilkan lagu parti tersebut malah dia juga tidak pernah menerima atau meminta apa-apa bayaran.

"Saya tidak mengambil masa yang lama mencipta lagu ini kerana sememangnya menjadi kepakaran tersendiri dalam menghasilkan lagu, malahan saya tidak meminta sebarang bayaran untuknya.

"Saya cipta lagu ini dengan ikhlas tanpa meminta sebarang bayaran," jelasnya.

Dalam pada itu, Johari turut menyarankan agar pemuzik-pemuzik pada hari ini sentiasa mengekalkan warisan alunan muzik tradisi, apatah lagi dengan zaman yang semakin canggih serta pengaruh budaya barat.

"Pengaruh budaya barat dalam muzik di negara kita sangat tinggi. Saya tidak mahu pemuzik-pemuzik baharu zaman sekarang melupakan warisan muzik tradisi dan terpengaruh dengan muzik barat.

"Sebagai pemuzik, kita bertanggungjawab dalam mengekalkan elemen kemelayuan dan mengelak warisan muzik tradisi melayu daripada terkubur ditelan zaman," katanya. 


Umno, Muzik, Komposer, Johari Salleh

Artikel Sebelum

Artikel Lain