suria

Polis Buru Pemilik Saman Tertunggak Minggu Depan

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan Operasi Waran Tangkap (Op Warta) bermula minggu depan terhadap individu yang belum menyelesaikan waran tangkap dan saman.

Ketua Polis Trafik Bukit Aman Datuk Mohd Fuad Abd Latiff berkata pihaknya sebelum ini memberi tempoh dua minggu kepada orang ramai untuk tampil membayar saman mereka yang tertunggak.

"Masih terdapat sebilangan besar yang belum mengambil langkah menyelesaikan waran tangkap dan saman mereka. Sehingga semalam hanya 18,260 saman yang berstatus waran tangkap telah diselesaikan.

"Saya menasihatkan golongan ini supaya berfikiran bijak dengan mengambil peluang yang kami beri untuk menyemak dan membayar saman mereka," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Sehubungan itu, beliau berkata, bermula minggu depan polis trafik akan mengesan, menangkap selain mendakwa pesalah-pesalah trafik yang masih mempunyai waran tangkap.

Mohd Fuad juga berkata, sekiranya mereka tidak memberi kerjasama sepenuhnya, prosedur tangkapan akan dibuat termasuklah tindakan untuk menggari pesalah.

"Bagaimanapun, masih ada tiga hari lagi untuk mereka membayar saman-saman trafik.

Pilihan untuk membayar atau tidak adalah hak setiap individu dalam tempoh tiga hari ini, namun mulai minggu depan pilihan ini sudah tidak ada lagi," katanya.

PDRM, Saman, Trafik

Artikel Lain