PUTRAJAYA: Seorang bekas pemandu pada Rabu gagal dalam rayuannya untuk menghidupkan semula permohonan untuk membatalkan perintah pengawasan polis selama tiga tahun di Parit Bakar, Muar, Johor yang dikenakan terhadapnya atas dakwaan menyertai ritual kongsi gelap. Tiga anggota panel Mahkamah Rayuan, yang dipengerusikan Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki, sebulat suara menolak permohonan R. Sureshwaran selepas mendapati tiada merit dalam rayuannya. Panel, yang turut disertai Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dan Datuk Seri Zakaria Sam, juga mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi untuk membatalkan permohonan Sureshwaran. Pada 11 Disember tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonannya selepas membenarkan bantahan awal yang dikemukakan oleh pihak responden iaitu Ketua Polis Negara, Lembaga Pencegahan Jenayah, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan. Mahkamah mendapati bahawa Sureshwaran sepatutnya memulakan permohonan menerusi semakan kehakiman di bawah Aturan 53, Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012. Dalam penghakimannya, Mohtarudin berkata Sureshwaran masih mempunyai pilihan untuk memohon lanjutan masa bagi memfailkan semakan kehakimannya iaitu 40 hari daripada tarikh keputusan. Pada 8 Oktober tahun lepas, Sureshwaran, 26, memfailkan permohonan jenayah di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan perintah pengawasan polis bertarikh 29 Mei, 2014 yang dikeluarkan oleh Lembaga Pencegahan Jenayah mengikut Seksyen 15 Akta Pencegahan Jenayah 1959. Dia turut memohon suatu perintah untuk mentaksahkan dapatan pengawai penyiasat di bawah Seksyen 10 (2) akta yang sama. Sureshwaran, yang tinggal di Kota Damansara di sini, mendakwa beliau diletakkan di bawah perintah kediaman terhad di Parit Bakar selama tiga tahun bermula 29 Mei, 2014. Dia mendakwa perintah tersebut melarang beliau meninggalkan daerah itu atau melangkah keluar dari rumahnya antara pukul 6 petang dan 6 pagi tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Polis Johor. Selain itu, katanya, beliau juga dikehendaki melaporkan diri di balai polis Parit Jawa setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat pada tahun pertama dan setiap Isnin dan Jumaat pada tahun kedua dan setiap Rabu pada tahun ketiga. Dalam afidavit sokongan, Sureshawaran berkata perintah sekatan itu adalah menyusahkan dan memaksa beliau memindahkan keluarganya dan mencari kerja yang baharu. Dia mendakwa bahawa dia ditangkap pada 1 April tahun lepas dan direman selama 59 hari dan disoal siasatan oleh pengawai penyiasat berhubung pembabitannya dalam upacara kongsi gelap di Batu Caves, Selangor. Dia menafikan dakwaan itu dan menjelaskan bahawa dia bukan sebahagaian daripada mana-mana organisasi yang terbabit dalam upacara kongsi gelap itu. Sureshwaran diwakili oleh peguam N. Surendran dan Latheefa Koya manakala pihak responden oleh Peguam Kanan Persekutuan, Mohamad Abazafree Mohd Abbas. Di luar mahkamah, Latheefa memberitahu pemberita bahawa pihaknya akan merayu di Mahkamah Persekutuan.