suria

Budaya Senioriti Tidak Perlu Ada Dalam Diri Pelajar Sekolah

Bapa Mohamad Nur Akram, Zime Yaakob, mengiringi jenazah anaknyauntuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Wakaf Berangan, Pasir Puteh, Kelantan pada Selasa. - fotoBERNAMA

KOTA BARU: Budaya senioriti tidak perlu ada dalam diri pelajar sekolah kerana ia hanya akan mengakibatkan perkara yang tidak diingini berlaku, kata Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Kelantan Datuk Aziz Nawi.

Beliau berkata budaya senioriti yang ada dalam diri pelajar ini tidak boleh dibiar dan perlu dibendung secepat mungkin.

"Saya rasa perkara ini berlaku disebabkan pengaruh filem dan juga media sosial. Pelajar seharusnya lebih berdisiplin," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kes kematian seorang pelajar sebuah kolej di Bachok yang dipercayai dipukul seorang pelajar senior, Selasa.

Aziz berkata pihak sekolah juga perlu memainkan peranan dengan mempertingkatkan kawalan di sekolah masing-masing agar kejadian seperti itu tidak berulang.

"Selain pihak sekolah, ibu bapa juga perlu mengambil tahu tentang keadaan anak-anak mereka terutama anak yang tinggal di asrama.

"Ibu bapa perlu bertanya keadaan anak di sekolah, adakah mereka dibuli ataupun tidak, ini dapat mencegah daripada berlakunya perkara tidak diingini," katanya.

Pada Selasa, seorang pelajar sebuah kolej di Bachok maut selepas disyaki dipukul pelajar senior di bilik asrama kolej berkenaan.

Dalam kejadian 12 tengah malam itu, mangsa Mohamad Nur Akram Zime, 16, dikatakan sedang tidur semasa dikejutkan suspek yang berusia 17 tahun yang memukul mangsa dipercayai akibat salah faham.

Mohamad Nur Akram dikatakan tidak sedarkan diri selepas disepak sebanyak dua kali oleh pelajar senior terbabit dan disahkan meninggal pada pukul 1.30 pagi semalam di sebuah klinik kesihatan di Bachok.

Mayat mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Wakaf Berangan, Pasir Puteh pada Selasa.

Artikel Lain