suria

Pasar Raya Diarah Henti Jual Produk Anti Minyak Sawit

James mengkritik produk anti minyak sawit dengan label yang memaparkan orang utan.

KUCHING: Sebuah pasar raya di sini diarahkan untuk mengeluarkan produk dengan label anti minyak sawit dari rak jualan berikutan aduan daripada pengiat industri minyak kelapa sawit.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengarahkan pasar raya tersebut untuk menghentikan penjualan produk berkenaan selepas memeriksa premis itu pada Rabu.

Menurut kementerian itu, produk tersebut diimport dari Australia dan dipercayai memasuki pasaran di sini kira-kira seminggu yang lalu.

Label yang tertera pada produk tersebut memaparkan orang utan menggesa pembeli untuk membeli produk bebas minyak sawit untuk membantu kempen menyelamatkan haiwan, mencetuskan kemarahan Menteri Kemajuan Tanah, Tan Sri James Masing apabila ia sampai ke pengetahuannya pada Selasa.

Beliau mengkritik label tidak mesra pengguna itu sebagai tidak adil kepada pengiat industri minyak kelapa sawit dan dikeluarkan berdasarkan fakta yang tidak tepat.

"Habitat orang utan bukan berada di ladang kelapa sawit. Kawasan habitat orang utan yang ditemui diisytiharkan sebagai kawasan perlindungan hidupan liar dan kita tidak boleh mengganggu haiwan itu.

"DiSarawak, kita mempunyai satu juta ekar kawasan yang dilindungi sepenuhnya dan daripada jumlah itu, 22 peratus atau 218,000 ekar adalah untuk habitat orang utan. Malah, dalam Kawasan Perlindungan Hidupan Liar Lanjak Entimau, populasi orang utan meningkat kepada 5,000 pada waktu ini," katanya.

Masing juga berkata kempen anti minyak sawit adalah disebabkan persaingan ekonomi dengan minyak sayuran lain seperti kacang soya, bunga matahari dan biji sawi.



anti minyak sawit, orang utan

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan