JOHOR BAHARU: Rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) antara 12 negara, akan tetap diteruskan meskipun Amerika Syarikat (AS) masih belum mendapat sokongan Senat untuk meneruskan rundingan bagi memuktamadkan perjanjian itu. Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ir Hamim Samuri berkata setiap negara yang berunding pastinya mempunyai isu masing-masing yang ingin mereka pertahankan. "Sudah pasti semua negara (yang terlibat) ada isu mereka tersendiri. Jadi itu adalah normal. Kita masih di peringkat rundingan. Ada isu masing-masing bagi negara-negara yang terlibat dalam rundingan," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan program Forum Pengeksport 2015 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini, Rabu. Hamim berkata demikian ketika mengulas laporan terbaharu mengenai AS yang masih gagal mendapatkan sokongan Senat untuk meneruskan rundingan bagi memuktamadkan TPPA. Menurut laporan sebelum ini, masa depan TPPA mungkin terjejas setelah Presiden Barack Obama gagal mendapat sokongan Senat untuk mengadakan perdebatan penuh dan mengundi di Kongres. Berikutan itu, ia boleh membawa kepada ketidaktentuan terutamanya dengan menteri-menteri TPPA dijangka bertemu di Guam bermula 26 Mei ini dengan jangkaan dapat memuktamadkan rundingan. Hamim berkata setakat ini pendirian Malaysia masih kekal, dan sebarang keputusan hanya akan diputuskan oleh kabinet. "Malaysia setakat ini masih kekal dengan terma yang kita perjuangkan (antaranya) kepentingan Bumiputera, kepentingan perusahaan kecil, soal ubatan dan lain-lain lagi. "Ini kita masih tegaskan. Perunding-perunding kita membawa mandat tersebut dalam setiap rundingan dan tidak ada keputusan yang dibuat tanpa kelulusan kabinet," kata beliau. Awal bulan lepas, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Malaysia akan membuat keputusan mengenai penyertaannya dalam TPPA pada suku ketiga tahun ini selepas semua perbincangan selesai. Proses rundingan TPPA, yang telah berlangsung selama lima tahun, dijangka ditamatkan perbincangan menjelang separuh pertama 2015. TPPA adalah satu inisiatif perjanjian perdagangan bebas membabitkan 12 negara iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, AS dan Vietnam, melibatkan pasaran 800 juta orang dengan gabungan keluaran dalam negara kasar bernilai US$27.5 trilion. Setakat ini, lebih 100 perbincangan dan rundingan telah diadakan diadakan dalam tempoh beberapa tahun lepas oleh MITI bagi meningkatkan tahap pemahaman mengenai kandungan rundingan. Sehingga April, rundingan bagi 10 daripada 29 bab TPPA telah dimuktamadkan, 10 dalam proses dimuktamadkan sementara sembilan lagi yang memerlukan lebih banyak usaha melibatkan antaranya hak pemilikan harta antarabangsa, alam sekitar, perusahaan milik negara, pelaburan serta perkhidmatan kewangan.