suria

RMK11: Johor Minta Tambah 20,000 Unit PPR Lagi

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan ketika melihat Projek Perumahan Rakyat Melana Indah selepas merasmikan projek perumahan rakyat itu di Taman Perling, Sabtu.

JOHOR BARU: Kerajaan negeri Johor meminta tambahan 20,000 unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dalam Rancangan Malaysia Ke-11  (RMK11) bagi menampung permintaan rakyat negeri ini yang semakin bertambah.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Johor setakat ini mempunyai sebanyak 10 buah PPR yang menyediakan kediaman kepada 9,844 penyewa.

Beliau berkata, dengan PPR sedia ada, yang kebanyakannya terletak di Johor Baharu, masih tidak memadai bagi keseluruhan negeri itu, meskipun dengan pelaksanaan program perumahan, Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ).

"Di bawah RMMJ, kita menyediakan sebanyak 46,931 rumah menjelang 2018 tetapi sehingga hari ini, yang mendaftar (bagi projek) adalah seramai 85,889 orang. Jumlah ini pastinya akan terus bertambah. Maka atas sebab itu, saya ingin menyatakan hasrat kerajaan negeri untuk memohon sejumlah 20,000 unit PPR lagi di bawah RMK11," katanya ketika berucap pada perasmian penyerahan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Melana Indah Fasa 1, di sini, Sabtu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Anggota Dewan Undangan Negeri Kempas itu, terdapat beberapa faktor yang mendorong kepada permohonan itu antaranya sebagai melengkapkan usaha kerajaan negeri untuk menyediakan rumah bagi rakyat berpendapatan rendah serta sederhana.

Selain itu, ia membantu golongan yang menghadapi masalah dalam pinjaman bank, jelasnya.

"Faktor lain adalah kita sedar pertumbuhan rancak sedang berlaku di Johor, khususnya dalam Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia dan ia menawarkan peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor. Dari utara, timur, Sabah, Sarawak, Kelantan dan mungkin juga orang Pekan (Pahang), mereka datang ke sini tetapi mereka belum bersedia membeli rumah.

Maka PPR adalah pilihan terbaik bagi penginapan mereka," katanya dan menambah setiap keluarga juga akan mampu menjalani kehidupan lebih baik apabila dapat memiliki rumah masing-masing.

Sehingga kini, Johor menerima peruntukan sebanyak RM1.43 bilion bagi projek PPR, yang melibatkan lapan projek dengan 8,728 unit rumah telah siap dibina, empat projek dengan 2,917 rumah yang masih dalam pelaksanaan dan dua lagi projek dengan 900 unit rumah dalam perancangan.-- Bernama 


PPR, RMK11, Khaled Nordin, Melana Indah

Artikel Sebelum

Artikel Lain