suria

Cadangan Bina Penjara Baharu Di Sibu - Wan Junaidi

KUCHING: Jabatan Penjara akan membina sebuah penjara baharu di kawasan seluas 24.2 hektar di Jalan Oya, Sibu, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Langkah itu bagi mengganti lokasi penjara sedia ada yang di dapati tidak lagisesuai dan tidak selamat kerana terletak di dalam bandar, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Penyampaian Anugerah Pingat Kedaulatan Negara di ibu pejabat Penjara Sarawak di dekat sini, Sabtu.

Beliau berkata selain kemudahan infrastruktur, penjara baharu itu akan menyediakan ruang aktiviti pertanian dan ternakan ikan dan ayam sebagai sebahagian daripada program pemulihan banduan.

Selain penjara Sibu dan Kuching, katanya Jabatan Penjara juga mengenal pasti kawasan sesuai untuk penjara Bintulu dan Miri.

Terdahulu dalam ucapannya, Wan Junaidi menyarankan beberapa program pemulihan seperti pendidikan akademik, kemudahan melanjutkan pelajaran ke peringkat institut pendidikan tinggi awam dan swasta di Semenanjung dan Sabah diperluaskan ke semua penjara di Sarawak.

Menurutnya program pemulihan di luar tembok iaitu Sistem Parol, Perintah Kehadiran Wajib, Program Pemasyarakatan Banduan dan Rumah Perantaraan yang melibatkan kerjasama masyarakat ternyata memberi impak membanggakan.

Sejak dilaksanakan pada  2008, kira-kira 99 peratus daripada17,620 banduan yang tamat mengikuti program berkenaan berjaya memperoleh pekerjaan selain menceburi keusahawanan.

"Saya amat bangga melihat pencapaian Sistem Parol dan Pusat Kehadiran Wajibdi negeri Sarawak. Sejak 2008, seramai 608 banduan menjalani Perintah Parol manakala sejak 2012, seramai 83 pesalah menjalani Perintah Kehadiran Wajib.

"Hasilnya, 100 peratus banduan itu mendapat pekerjaan dan tiada seorangpun mengulangi kesilapan atau kembali menjalani hukuman di penjara,"katanya.

Artikel Lain