suria

Jambatan Asean Di Miri Bebas Tol Jun Ini

Jambatan Asean.

KUCHING: Jambatan Asean yang menghubungkan Miri dan Brunei tidak akan dikenakan tol kepada pengguna tempatan bermula Jun ini.

Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem berkata dalam laman Facebooknya bahawa caj sehala RM10 akan dimansuhkan.

"Caj tol untuk Jambatan Asean di Kuala Baram akan dimansuhkan kepada pengguna tempatan pada Jun 2015. Sik payah mok berbayar tol agik," kata Adenan dalam Bahasa Sarawak mengulangi entri dalam Facebooknya.

Namun, masih belum jelas sekiranya pengguna tempatan termasuk rakyat Sarawak atau semua rakyat Malaysia.

Dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada April lalu, Adenan menunjukkan bahawa rakyat Brunei adalah pengguna terbesar jambatan tersebut.

Besar kemungkinan caj tol untuk warga asing akan dikekalkan.

Dalam entri Facebook yang sama, Adenan turut mengumumkan caj feri di Marudi, sebuah bandar kecil yang bersempadanan dengan Sabah dan Brunei akan diturunkan kepada RM1 bermula Julai ini.

Pengumuman tersebut mendapat lebih 2,000 'Likes' dalam tempoh sejam pertama.

Jambatan Asean, jambatan terpanjang di Miri siap dibina pada tahun 2003.

Daripada empat jambatan di Sarawak yang dibenarkan untuk mengutip tol, Jambatan Asean antara yang termahal.

Tol di Jambatan Lanang di Sibu yang baharu sahaja dimansuhkan, bermula pada kadar RM3 manakala, tol di Jambatan Sungai Sarawak di Kuching bermula pada kadar RM1.60.

Syarikat konsesi untuk Jambatan Igan juga di Sibu tidak pernah mengenakan tol kepada pengguna.

Kesemua jambatan tol tersebut akan menjadi sebahagian daripada projek Lebuh Raya Pan Borneo sepanjang 1,000 kilometer yang dinaik taraf menjadi lebuh raya berkembar.

Jambatan Asean, Miri, tol, mansuh

Artikel Lain